Tuesday, July 22, 2025
31.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bantuan makanan Gaza cukup untuk 3 bulan tetapi disekat

    GENEVA, 20 JULAI – Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) kelmarin menggesa sekatan yang menghalang bantuan menyelamatkan nyawa daripada sampai ke Gaza segera ditamatkan, sambil memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai bekalan makanan mencukupi bagi menampung keseluruhan penduduk wilayah itu untuk lebih tiga bulan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

    “UNRWA mempunyai makanan yang mencukupi untuk seluruh penduduk Gaza selama lebih tiga bulan yang disimpan di gudang, termasuk di Al Arish, Mesir yang sedang menunggu untuk dibawa masuk,” menurut agensi itu menerusi hantaran di platform X.

    Walaupun mempunyai bekalan dan sistem logistik yang mencukupi, agensi itu berkata akses bantuan masih disekat.

    Kenyataan itu diakhiri dengan rayuan tegas: “Buka pintu masuk, tamatkan sekatan, benarkan UNRWA melaksanakan tugasnya dan membantu mereka yang memerlukan, antaranya sejuta kanak-kanak.”

    Israel telah membunuh hampir 59,000 rakyat Palestin setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Rejim itu mengenakan sekatan kemanusiaan penuh ke atas Gaza pada 2 Mac lepas, memutuskan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bantuan lain kepada lebih dua juta penduduk Palestin di wilayah berkenaan.

    Selepas tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, Israel mula membenarkan sejumlah kecil bantuan masuk pada akhir Mei. Agensi-agensi PBB tidak lagi dilibatkan, sebaliknya pengagihan bantuan kini dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza yang kontroversi, menyebabkan ratusan kematian sejak itu. – Bernama/Anadolu 

    Rakyat Palestin sedang menunggu trak pengagihan air di kem sementara di sekolah Abou Helou yang dikendalikan UNRWA di kem pelarian Bureij, Gaza pada 17 Julai. Bantuan makanan sedang disekat. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda