KOTA KINABALU, 15 NOV – Kerajaan Sabah memberi bantuan RM300 sebulan untuk tempoh setahun kepada golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini menerusi Belanjawan Sabah 2025.
Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini berkata inisiatif yang julung kali diadakan itu melibatkan peruntukan RM358.5 juta.
Beliau berkata golongan miskin dan miskin tegar yang layak diberikan bantuan berkenaan telah dikenal pasti menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat dan ia antara lain diharap dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang tinggi kini.
“Bantuan ini juga diharap dapat mengurangkan beban kewangan dalam tempoh tertentu sekali gus memberi ruang kepada mereka menyesuaikan diri dan mencari ikhtiar lain dalam menambah pendapatan,” katanya.
Masidi berkata sebagai usaha berterusan bagi memastikan golongan tersebut tidak ketinggalan daripada arus pembangunan, taraf hidup dan ekonomi, kerajaan Sabah juga memperuntukkan RM488.5 juta untuk melaksanakan pelbagai program membasmi kemiskinan.
Beliau berkata sebanyak RM250 juta diperuntukkan bagi pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di semua 73 kawasan DUN, peningkatan peruntukan 100 peratus berbanding belanjawan tahun ini.
“Setakat bulan lepas, sebanyak 4,482 Rumah Mesra SMJ telah dibina bagi membolehkan golongan miskin dan miskin tegar ini memiliki kediaman mereka sendiri, tempat untuk mereka serta keluarga berteduh,” katanya.
Selain itu, beliau berkata peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan sah juga buat julung kali diberikan bantuan sekali bayar sebanyak RM5,000. – Bernama