Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Bantuan sosial dan usaha pembasmian kemiskinan adalah penting dalam membantu masyarakat menghadapi kesan sosioekonomi dan dalam memastikan tiada golongan yang tertinggal.
Tindak balas dasar yang menyeluruh dan selaras dalam bidang-bidang seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan bantuan perumahan dapat membantu penduduk yang paling terdedah dan golongan yang memerlukan dalam mengatasi kesan pandemik.
Penekanan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapannya pada Sesi Mesyuarat Ministerial Session of the Standing Committee for Economic and Commercial Cooperation of the Organisation of Islamic Cooperation (COMCEC) ke-38 yang berlangsung di Istanbul, Republik Turkiye pada 28 dan 29 November.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, hari ini, Yang Berhormat Dato turut mengongsi usaha Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuhkan sistem perlindungan sosial seperti melalui Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Pembasmian Kemiskinan dan pendigitalan Sistem Kebajikan Negara (SKN).
Mesyuarat berkenaan telah dirasmikan oleh Presiden Republik Turkiye, Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdogan dan dihadiri oleh negara-negara ahli dan negara-negara pemerhati Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta institusi-institusi OIC seperti Islamic Development Bank Group; Statistical, Economic and Social Research and Training Centre for Islamic Countries; Islamic Centre for Development of Trade dan Standards and Metrology Institute of Islamic Countries.
Dengan membawa tema Effective Social Assistance Provision and Socioeconomic Empowerment in the light of COVID-19 Pandemic, sesi mesyuarat itu telah membincangkan usaha ke arah pembasmian kemiskinan di negara-negara ahli OIC dan cabaran dalam menyalurkan bantuan sosial pascapandemik serta pilihan dasar yang dapat membantu menangani cabaran-cabaran berkenaan.
Perbincangan juga telah memberi tumpuan kepada kemajuan dalam pelaksanaan Strategi COMCEC dan Program Tindakan OIC-2025.
Mesyuarat menteri-menteri tersebut telah dimulakan dengan mesyuarat pegawai-pegawai kanan yang telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin serta pegawai-pegawai dari MOFE.
