Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Bantuan tentera AS untuk Ukraine sedang dalam perjalanan

    KYIV, 14 MEI – Bantuan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) untuk Ukraine sedang dalam perjalanan, kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken di Kyiv hari ini, ketika Rusia meneruskan serangan baharu di wilayah timur laut Kharkiv.

    Lawatan Blinken berlaku hanya beberapa minggu selepas Kongres AS akhirnya meluluskan pakej bantuan kewangan sebanyak AS$61 bilion untuk Ukraine selepas berbulan-bulan perbalahan politik, membuka jalan bagi kelengkapan ketenteraan yang sangat diperlukan untuk tentera negara itu.

    “Dalam masa terdekat, bantuan kini sedang dalam perjalanan dan itu akan membuat perbezaan yang nyata terhadap pencerobohan Rusia,” katanya kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

    Blinken tiba dengan kereta api semalam dari Poland dalam lawatannya yang keempat ke Kyiv sejak permulaan pencerobohan Rusia pada Februari 2022.

    Zelensky mengucapkan terima kasih kepada Washington atas bantuan itu, dan berkata “Keputusan mengenai pakej itu penting bagi kami”.

    Beliau menyatakan bahawa kekurangan terbesar Ukraine adalah pertahanan udara dan meminta dua jentera Patriot di wilayah Kharkiv, di mana tentera Rusia telah mara dan mengebom kampung-kampung di sepanjang sempadan.

    Di pusat pemeriksaan di luar bandar Kharkiv, seorang pegawai berkata bahawa tentera Rusia telah memasuki Ukraine melalui kampung di sempadan yang sukar bagi kami untuk pertahankan.

    “Mereka berada di kawasan tinggi dan mengebom kami dari sana,” kata pegawai itu, Volodymyr Usov, ketua pentadbiran tentera daerah Kharkiv.

    Rumah Putih berkata kelmarin bahawa mereka sedang melakukan segala-galanya untuk segera menghantar senjata ke Ukraine.

    Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan memberitahu wartawan bahawa pakej senjata baharu akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...