Bantuan terus mencurah

Oleh Sim Y. H. & Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Dalam usaha untuk menangani penularan wabak COVID-19, ia tidak hanya bergantung kepada pihak kerajaan semata-mata tetapi juga memerlukan kerjasama padu daripada pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai.

Usaha padu itu jelas terbukti apabila ramai tampil ke hadapan untuk membantu termasuk sukarelawan, petugas barisan hadapan dan penderma di mana mereka saling bekerjasama serta berganding bahu turun padang bergabung dengan pihak kerajaan dalam menangani pandemik.

Sehubungan dengan itu, Koperasi Serbaguna Persatuan Buhur Kampung Jerudong Berhad (KSPB), tidak ketinggalan untuk memainkan peranan dengan menyampaikan sumbangan barangan keperluan bagi pesakit dan petugas-petugas yang berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong.

Sumbangan yang merupakan sebanyak kira-kira 13,000 helai apron, 2,300 helai pelitup muka, 53 kotak sarung tangan, 120 botol cecair pensanitasi tangan dan pelbagai barangan keperluan lain telah diserahkan oleh Pengerusi KSPB, Haji Arifpen bin Abas kepada wakil dari Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong dalam majlis penyampaian sumbangan di pusat pengasingan berkenaan, hari ini.

Sejak terjadinya gelombang kedua penularan pandemik COVID-19 di negara ini, KSPB telah mengambil inisiatif memberi bantuan barangan keperluan asasi bagi ahli-ahli dan keluarga mereka yang menjalani Perintah Kuarantin di rumah masing-masing.

Kaneshige Kubushiro semasa menyerahkan sumbangan kepada wakil Kementerian Kesihatan baru-baru ini. – Gambar serahan BMC
Wakil kakitangan RBC menyampaikan sumbangan pek makanan dan air mineral kepada wakil ABDB di COVID-19 Holding Area Mahad (CHAM), Tutong, baru-baru ini. – Gambar serahan RBC
Sumbangan barangan keperluan daripada KSPB kepada Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong, kelmarin.
Wakil dari Syarikat Asli KTM semasa menyerahkan sumbangan berupa mi kering, kelmarin. – Gambar serahan Syarikat Asli KTM

Usaha itu dilaksanakan demi rasa tanggungjawab sosial korporat (CSR), koperasi berkenaan kepada orang ramai khususnya ahli-ahlinya.

Turut memberikan sumbangan pada majlis itu ialah SeaWorld Neptune Restoran & Katering di mana sumbangan disampaikan oleh ahli Lembaga Pengarah, Wong Shi An sebagai tanda perpaduan sesama masyarakat.

Selain itu, Brunei Methanol Company Sdn Bhd (BMC) terus tampil menghulurkan sumbangan berupa peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.

BMC menghulurkan sumbangan PPE berupa scrub suits, pelitup muka jenis N95, pelindung muka, gaun pembedahan, sarung tangan dan barangan mandian.

Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Kaneshige Kubushiro kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, Awang Abdul Afiq bin Ahmad Mahmud dan sumbangan turut diserahkan kepada Pegawai Logistik, COVID-19 Holding Area Pusat Tingkatan Enam, Kuala Belait (CHABEL 6), Leftenan Dya Muhammad Afifi bin Haji Ahmad.

Manakala, berikutan dengan sumbangan pek makanan Royal Brunei Culinary (RBC) kepada petugas-petugas barisan hadapan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di Daerah Tutong minggu lepas, RBC terus memberikan sokongan dan menghargai usaha petugas-petugas barisan hadapan ABDB dengan menyumbangkan pek makanan kepada petugas-petugas barisan hadapan berkenaan di COVID-19 Holding Area Mahad (CHAM), Tutong, baru-baru ini.

Menurut RBC, sebanyak lebih 250 pek makanan dan air mineral telah diagih-agihkan kepada petugas-petugas barisan hadapan ABDB oleh kakitangan RBC.

Sumbangan itu adalah sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada petugas-petugas barisan hadapan ABDB yang bekerja-keras dalam sama-sama membendung penularan pandemik COVID-19.

Sementara itu, dalam sama-sama menjalankan CSR, Syarikat Asli KTM Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan pembuatan mi yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah tampil menghulurkan sumbangan berupa 5,000 pek mi kering kepada Pusat Pengasingan Kebangsaan COVID-19, hari ini.

Sumbangan jenis pek mi kering jenama BruMee itu telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan, Syarikat Asli KTM, Haji Rani @ Haji Abdul Malek bin Haji Awang Mohamad yang mana akan diagih-agihkan kepada ahli keluarga dan individu yang menjalani perintah kuarantin di negara ini.

Dengan adanya sumbangan berkenaan yang meringankan lagi bebanan pihak kerajaan, pihak syarikat juga mendoakan agar tanah air kita akan bebas secepatnya daripada ancaman wabak COVID-19 dan sentiasa di bawah perlindungan dan rahmat Allah SWT.