Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Dis – Menjelang sesi persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi, bantuan persekolahan terus dihulurkan bagi meringankan bebanan pelajar dan keluarga mereka.
Kedai Buku Samima Sdn Bhd tidak ketinggalan menghulurkan bantuan berupa kupon bernilai $30 kepada seramai 50 orang anak-anak yatim dan keluarga yang tidak berkemampuan di Daerah Brunei dan Muara hari ini bagi pembelian peralatan sekolah.
Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Urusan Samima Sdn Bhd, Haji Hidayatullah bin Haji Tejuddin di Kedai Samima cawangan Kiulap.
Haji Hidayatullah semasa ditemui wartawan Media Permata berkata, sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial syarikat berkenaan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik khususnya dari segi perbelanjaan keperluan sekolah.
Menurutnya, Samima Sdn Bhd yang kini memiliki lima buah cawangan di negara ini, turut menghulurkan sumbangan sama kepada beberapa buah keluarga kurang berkemampuan baru-baru ini.

