GAZA, 25 MEI – Pejabat Media Kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas kelmarin memaklumkan bahawa bantuan kemanusiaan yang memasuki Semenanjung Gaza setakat ini hanya merangkumi kurang daripada satu peratus keperluan asas penduduknya, lapor Xinhua.
“Sepanjang 84 hari sekatan dan penutupan, kira-kira 46,200 buah trak yang membawa bantuan dan bahan api sepatutnya dibenarkan masuk ke Gaza bagi memenuhi keperluan minimum penduduk.
“Namun dalam beberapa hari kebelakangan ini, pihak penjajah (Israel) menyebarkan naratif mengelirukan kononnya mereka membenarkan kemasukan ‘bantuan,’ sedangkan hakikatnya hanya kira-kira 100 buah trak yang benar-benar masuk, iaitu kurang daripada satu peratus daripada keperluan asas penduduk,” menurut kenyataan pejabat itu.
Pejabat itu turut memaklumkan bahawa bantuan yang dihantar hanya merangkumi sejumlah kecil ubat-ubatan dan tepung gandum yang sampai ke beberapa kedai roti, pada ketika penjajah masih menyekat operasi lebih 90 peratus kedai roti di Gaza.
Israel sebelum ini bersetuju untuk menarik balik sekatan yang berlangsung hampir tiga bulan dan membenarkan kemasukan bantuan terhad ke wilayah terkepung itu.
Namun, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres Jumaat lalu berkata ‘bantuan yang diluluskan setakat ini hanyalah ibarat satu sudu air berbanding limpahan bantuan yang amat diperlukan.’ – Bernama
