Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banyak kerja perlu dilakukan – Flick

    COLOGNE, JERMAN, 29 MAC – Jurulatih Jerman, Hansi Flick telah mengakui pasukannya mempunyai ‘banyak kerja yang perlu dilakukan’ untuk bersedia bagi menjulang kejuaraan Euro 2024, lebih setahun sebelum menganjurkan kejohanan itu.

    Juara dunia empat kali dan juara Eropah tiga kali itu semalam tumbang dengan kekalahan 3-2 di tempat sendiri dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Belgium yang disingkirkan daripada Piala Dunia tahun lalu dalam peringkat kumpulan.

    Jerman juga tersingkir dari kejohanan di Qatar pada halangan pertama, buat kali kedua berturut-turut di Piala Dunia, untuk meneruskan tempoh empat tahun yang teruk.

    “Kami mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan. Kami tahu itu,” kata pengurus itu selepas kekalahan pertama Jerman kepada Belgium sejak 1954.

    Kemenangan dominan 2-0 ke atas Peru pada Sabtu lalu dalam perlawanan pertama Jerman sejak bencana Piala Dunia mereka telah memberikan harapan untuk bangkit.

    Tetapi menentang Belgium, Jerman menunjukkan mereka masih ketinggalan di belakang pasukan elit Eropah.

    “Sekiranya saya mengatakan bahawa kami sangat gembira, maka itu tidak benar. Jelas bahawa semuanya tidak 100 peratus,” kata Flick.

    Jerman mencapai sekurang-kurangnya separuh akhir pada enam kejohanan utama berturut-turut antara 2006 dan 2016 tetapi gagal untuk mara ke suku akhir sejak itu, setelah turut tersingkir pada pusingan 16 terakhir oleh England di Euro 2020. – AFP

    Jurulatih Jerman, Hans-Dieter Flick semasa perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di Cologne, barat Jerman, semalam. – AFP
    Joshua Kimmich memberi reaksi semasa perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa, Jerman menentang Belgium di Cologne, barat Jerman, semalam. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda