Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banyak maklumat diperoleh dengan membaca

    ‘MEMBACA jambatan ilmu,’ perumpamaan yang menyifatkan bahawa amalan membaca dapat membantu menambahkan pengetahuan atau ilmu pengetahuan dapat dipertingkatkan melalui pembacaan.

    Sememangnya terlalu banyak kebaikan dan faedah yang didapati dengan membaca.

    Banyak bahan bacaan terkini dan baik berada di pasaran seperti akhbar, majalah, buku, komik dan tidak ketinggalan media massa seperti blog.

    Jadi, rasanya agak ramai yang telah pun mengetahui kenapa kita perlu membaca dan faedah-faedahnya.

    Tapi, berapa ramaikah dalam kalangan kita mengamalkan membaca sebagai suatu tabiat? Berapa banyakkah buku atau akhbar yang kita akan korek rahsia yang dikongsikan oleh penulisnya dalam sebulan? Di sini beberapa faedah atau kepentingan yang kita boleh perolehi dengan membaca;

    1. Ilmu baharu

    Tukang masak, jika dia ingin mencuba masakan yang baharu, sama ada dengan merasa masakan seseorang, mereka juga akan membaca buku-buku resepi yang dikeluarkan oleh mungkin cef yang terkenal. Ini menambahkan ilmu baharu kepada mereka di samping dapat menambahkan ‘skil kemahiran’ memasak mereka menjadi lebih baik daripada yang biasa.

    2. Pengalaman

    Penulis tidak mungkin hanya akan memikirkan untuk melariskan buku jualan mereka. Tapi mereka juga akan menceritakan pengalaman mereka kepada pembacanya sama ada melalui akhbar.

    Kebaikannya, dengan mempelajari pengalaman daripada sesiapa pun, kita dapat mengurangkan sesuatu risiko dalam menghadapi kehidupan seharian. Jadikan pengalaman mereka sebagai pengalaman kita sendiri dan kita dapat mengelakkan keperitan yang pernah mereka rasai.

    3. Perbandingan dan idea

    Mendapatkan bahan bacaan yang baik adalah perlu dalam mencipta sesuatu yang baharu. Menambahbaik atau mencipta sesuatu lain dari yang lain memerlukan kita untuk terus membaca dan menbaca!

    4. Ketahui perjalanan atau isu semasa

    Masa kini, perjalanan berita yang kita ketahui semakin pantas. Ini juga atas bantuan Internet yang kini membolehkan kita mengetahui bukan sahaja berita setempat, tapi seluruh pelusuk dunia. Justeru, dengan membaca kita akan lebih cepat memahami dan mengetahui apakah yang sedang berlaku. Tidak mungkin kita akan terus berada dalam tempurung selamanya bukan. Selesakah diri kita bila diumpamakan seperti ‘katak bawah tempurung’? Jadi mulai sekarang bebaskan diri dengan membaca.

    5. Mengajar disiplin diri

    Membaca ada kalanya membosankan apabila kita terpaksa pergi menelaah satu ke satu perenggan untuk memahami kandungan yang dibincangkan. Tapi, membaca mengajar kita untuk terus sentiasa fokus dan berdisiplin dalam mendapatkan sesuatu. Jika kita membaca dengan melangkah dari satu perenggan ke satu perenggan lain, ia menyebabkan kita tidak fokus. Tidak fokus bermakna tidak berjaya mendisiplinkan diri. Mulai sekarang disiplinkan diri sendiri dengan membaca.

    6. Menambah kebijaksanaan

    Membaca menguatkan pemikiran, menggalakkan pemikiran kreatif, analitis dan kritikal. Membaca membolehkan kita membuat keputusan yang lebih baik dan mengurangkan kesalahan dalam menilai kerana otak yang sentiasa berfikir dan aktif. Membaca membuatkan pemikiran sentiasa tajam walaupun di kala usia yang meningkat.

    Banyak bahan yang boleh kita dapati untuk membaca sekarang. Bahan bacaan juga pada masa kini menjadi semakin mudah untuk didapati. Ini adalah hasil daripada dunia komunikasi tanpa sempadan pada masa ini. Ada juga bahan bacaan berkualiti boleh didapatkan secara percuma. Tapi, apa yang menyedihkan, dalam kalangan kita, berapa ramaikah yang menjadikan membaca sebagai satu tabiat untuk mengisi masa lapang?

    Sememangnya dengan membaca ia memberikan peluang untuk kita menerokai dunia baharu yang mungkin kita tidak pernah ketahui kewujudannya.

    Kebaikan membaca akhbar

    Surat khabar atau akhbar yang disebut sekarang memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan sesebuah negara.

    Akhbar merupakan alat media cetak yang menyebarkan maklumat-maklumat yang berfaedah kepada kita mahupun masyarakat.

    Membaca kandungan beritanya boleh menambah ilmu pengetahuan. Melaluinya, kita boleh mendapat maklumat-maklumat tentang politik, ekonomi, sukan, hiburan di samping turut memaparkan berita-berita dari dalam dan luar negara.

    Selain itu, membaca akhbar boleh mengisi masa lapang kita dengan berfaedah. Di samping menambah pengetahuan, membacanya juga boleh mengelak diri daripada melakukan aktiviti-aktiviti tidak baik seperti merokok, berjudi dan melepak. Maklumat di dalamnya juga membuatkan kita akan lebih peka terhadap perkembangan semasa.

    Kita patut memupuk sikap suka membaca akhbar kerana amalan itu bukan sahaja boleh menambahkan perbendaharaan kata, malah boleh meningkatkan teknik penulisan.

    Seseorang yang berpengetahuan luas akan mendapat sanjungan, sebaliknya yang berpengetahuan cetek pula akan diibaratkan seperti katak di bawah tempurung.

    Oleh itu amalan membaca memang mendatangkan banyak kebaikan yang patut dipupuk sejak daripada kecil lagi. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda