Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Banyakkan amal ibadah ketika gerhana

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Keagungan dan kebesaran Allah SWT sering dipamerkan secara halus melalui alam semula jadi ciptaanNya terutama pada bulan dan matahari yang membentuk gerhana, sebagai tanda atau bukti kekuasaanNya seperti juga kejadian siang dan malam.

    Sehubungan itu, Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam supaya berdoa, berzikir, sembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar apabila berlakunya gerhana, kata khatib dalam khutbah khas sempena fenomena gerhana bulan yang berlaku malam ini, pada Majlis Sembahyang Sunat Gerhana Bulan di Masjid Omar Ali Saifuddien di ibu negara dan turut diadakan di seluruh masjid, surau dan balai ibadat di negara ini.

    Hadir menunaikan solat sunat gerhana bulan bersama para jemaah di ibu negara ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Otman; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan para pegawai kanan serta kakitangan KHEU serta penduduk di sekitarnya.

    Khatib Awang Zulkifli bin Haji Murat seterusnya mengingatkan bahawa apabila berlakunya gerhana, umat Islam juga seharusnya bertaubat atas segala dosa dan menghindari melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam.

    Sembahyang Sunat Gerhana Bulan di ibu negara diimamkan oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Haji Hamdini bin Haji Garif manakala sembahyang fardu Isyak berjemaah diimamkan oleh pegawai masjid, Awang Mohammad Hasanal bin Haji Mohammad.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama para pegawai kanan, kakitangan KHEU dan jemaah masjid bersama-sama menunaikan sembahyang sunat gerhana di ibu negara.
    Khatib Awang Zulkifli menekankan ketika berlaku gerhana, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda