Banyakkan ibadah di bulan Muharam

Oleh Yusrin Junaidi

TEMBURONG, 13 SEPT – Bagi menyemarakkan lagi Awal Tahun Hijrah 1442, Syarikat An-Naafii dan Jawatankuasa Takmir Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong telah bekerjasama mengadakan majlis sambutan yang didukung oleh Persatuan Amal Jariah Brunei Darussalam.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

Majlis telah diisikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan
dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Harapandi Amaq Hairani.

Ceramah bertajuk ‘Keistimewaan dan Larangan di Bulan Muharam yang Harus Dijauhi’ itu antara lain menekankan, malulah melakukan maksiat kerana bulan Muharam ini adalah bulan membanyakkan ibadah bagi kebahagiaan di akhirat kelak.

Dr Haji Harapandi menambah, pada bulan ini, “Kita dianjurkan memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW agar Baginda mencari-cari kita untuk diberikan syafaat di padang mahsyar nanti.”

Beliau juga menekankan bahawa dalam bulan Muharam ini, lazimkanlah solat berjemaah di masjid atau di rumah agar solat yang dilaksanakan disempurnakan daripada kekurangan seperti tidak khusyuk.

Dr Haji Harapandi Amaq Hairani ketika menyampaikan ceramah mengenai keistimewaan Muharam. – Gambar serahan Jabatan Hal Ehwal Masjid