Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Seorang lelaki warga Vietnam dihukum 14 bulan penjara dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran.
Dinh Thanh Liem, 28, mengaku bersalah mengupah seorang wanita warga Vietnam untuk tujuan pelacuran dan memperolehi hasil wang daripada aktiviti itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menyewa sebuah bilik di kawasan Gadong sekitar Oktober 2017.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid dalam memutuskan hukuman berkata, tertuduh tidak sepatutnya melakukan aktiviti tidak bermoral itu di negara ini, apatah lagi Brunei Darussalam adalah sebuah negara Islam.
Hukuman penjara bukan sahaja sesuai buat tertuduh tetapi juga sebagai hukuman berbentuk pencegahan untuk memberi pengajaran kepada yang lain, tegas Majistret Dewi. Mengikut fakta kes, tertuduh yang tidak bekerja masuk ke negara ini pada 24 September 2017 menggunakan pas melawat.
Pada 30 Oktober 2017 kira-kira jam 4:30 petang, anggota polis melalui Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat membuat serbuan ke bilik tersebut selepas menerima maklumat daripada orang ramai. Polis menemui seorang wanita warga Vietnam berusia 25 tahun menawarkan khidmat seks kepada pelanggannya.
Siasatan mendapati wanita itu bersetuju untuk melibatkan diri dalam aktiviti pelacuran, yang mana tertuduh akan menerima komisen $10 untuk setiap seorang pelanggan.
Tertuduh telah menerima $100 daripada wanita itu apabila menyediakan 10 orang pelanggan.
Tertuduh yang mengetahui dirinya di bawah siasatan polis, telah meninggalkan negara ini tetapi kembali semula pada 23 Januari 2018. Dia terus ditahan oleh pegawai imigresen apabila namanya tersenarai dalam ‘senarai henti’.
Ketika disoal siasat, dia mengaku membuat perjanjian dengan wanita itu untuk mengupahnya bagi tujuan pelacuran dan menerima komisen bagi setiap pelanggan yang disediakannya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dr. Mohammad Hussin Ali bin Idris.