Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa bangga dengan Meerqeen

    Andai dikenang jerih perih mengejar impian menjadi anak seni, ingatan Meerqeen melayang kepada detik bergaduh besar dengan bapa yang menentang hasrat terjun ke dunia glamor.

    Segalanya bermula ketika Meerqeen atau nama sebenar, Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 22, mengikuti pengajian diploma di Kolej Vokasional Gombak, kira-kira tiga tahun lalu.

    Ketika itu, Meerqeen memberitahu, bapanya menghalang minat berkecimpung dalam dunia seni sehingga terpaksa menjalani sesi uji bakat program realiti televisyen (TV), Hero Remaja 2019/2020 secara rahsia.

    “Ketika menyambung pengajian di Kolej Vokasional Gombak, saya dapat keputusan cemerlang iaitu ‘4 flat’ setiap semester.

    “Bagaimanapun, pada masa sama, saya pergi ke sesi uji bakat Hero Remaja tanpa pengetahuan dan kebenaran ayah. Itu adalah minat dan saya fikir kalau tidak ambil, bila lagi?

    Meerqeen berkongsi bapanya menghalang minat berkecimpung dalam dunia seni sehingga terpaksa menjalani sesi uji bakat program realiti televisyen secara rahsia. – mStar

    “Ketika itu, saya tidak fikir soal restu ayah sebab masih muda. Apa yang saya mahu adalah mengejar cita-cita sendiri,” katanya kepada BH Online.

    Selepas menerima panggilan mengesahkan dirinya diterima menyahut cabaran Hero Remaja 2019/2020, pelakon drama Melur untuk Firdaus ini mengambil keputusan tidak meneruskan pengajian.

    Mengetahui hasratnya itu, Meerqeen berkongsi, bapanya datang ke kolej untuk mendapatkan penjelasan, namun berakhir dengan pertelingkahan di pejabat kolej berkenaan.

    Bagaimanapun, Meerqeen berkata, bapanya mula terbuka menerima minatnya menjadi pelakon ketika bersaing pada minggu keenam program realiti, Hero Remaja 2019/2020.

    “Ayah hantar mesej yang sangat menyentuh hati saya. Bapa mengaku dirinya salah. Itu kali pertama dia mesej saya dengan kata-kata seperti itu sambil menangis.

    “Saya tidak sangka itu adalah bapa saya. Ketika ini, bapa peminat nombor satu dan sentiasa menyokong apa sahaja saya lakukan,” katanya.

    Meerqeen percaya apa yang berlaku tersimpan hikmah ditetapkan Tuhan buat dirinya dan keluarga.

    “Saya tetap dengan pendirian menceburi bidang lakonan ini. Kalau saya tidak ambil peluang atau pertelingkahan bersama ayah tidak berlaku, mungkin saya tidak akan ada di sini.

    “Perkara itu menguatkan diri saya. Boleh dikatakan, kedegilan saya berbaloi dan ada hikmah di sebaliknya,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda