BAGHDAD, 6 FEB – Aktivis wanita Iraq mengadakan bantahan semalam untuk menuntut undang-undang menentang keganasan rumah tangga, beberapa hari selepas seorang YouTuber dicekik oleh bapanya dalam pembunuhan yang mencetuskan kemarahan di negara konservatif itu.
Tiba al-Ali, 22, dibunuh oleh bapanya pada 31 Januari di selatan wilayah Diwaniyah, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Saad Maan di Twitter pada Jumaat.
Maan berkata usaha telah dilakukan untuk menjadi perantara di antara wanita muda itu dan saudaranya untuk menyelesaikan ‘perbalahan keluarga.’ Bapa wanita itu menyerah diri kepada polis dan mengaku membunuh anak perempuannya.
Semalam, anggota keselamatan menghalang 20 aktivis daripada menunjuk perasaan di luar Majlis Kehakiman Tertinggi, sebaliknya mereka berkumpul di sebatang jalan menuju ke bangunan itu, kata seorang wartawan AFP.
Beberapa orang memegang sepanduk berbunyi ‘Berhenti bunuh wanita’ dan ‘Pembunuh Tiba mesti bertanggungjawab’.
“Kami menuntut undang-undang melindungi wanita, terutamanya undang-undang menentang keganasan rumah tangga,” beritahu seorang pembantah berusia 22 tahun, Rose Hamid kepada AFP.
“Kami datang ke sini untuk membantah pembunuhan Tiba dan keganasan ke atas wanita lain. Siapa yang akan menjadi mangsa seterusnya?”
Ali telah menetap di Turkiye sejak 2017 dan sedang melawat Iraq apabila dia dibunuh, kata pegawai keselamatan Diwaniyah kepada AFP.
Di Turkiye, dia mempunyai ramai pengikut di YouTube, menyiar video tentang kehidupan hariannya. Rakaman telah dikongsi di media sosial oleh kawan Ali dan diterima oleh aktivis, antaranyamengenai perbualan dengan bapanya yang berasa marah kerana dia tinggal di Turkiye. – AFP


