Bapa pelakon Catriona Ross iaitu Bahrin Ross meninggal dunia di Edinburgh, Scotland baru-baru ini.
Menurut mStar, Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 8:30 pagi waktu Malaysia.
Berkongsi perkara tersebut, Catriona atau Norhayati Ross Bahrin Ross, 44, memberitahu pemergian bapa tersayang cukup sukar selepas ibunya meninggal dunia pada 2013.
“Ini adalah berita yang sangat sedih dan sukar untuk saya kongsikan selepas kehilangan ibu. Saya ingin maklumkan daddy telah kembali menghadap Ilahi pada Jumaat bersamaan 25 Ramadan,” katanya.
Catriona memaklumkan perkara itu di Instagram miliknya pada Sabtu.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/04/P17-2A-mStar_08042024.jpg)
Pelakon itu bersama suami dan anak-anak mereka juga dilihat sudah berada di Scotland dipercayai bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama Allahyarham yang menetap di sana.
Bercakap tentang keperibadian arwah, kata Catriona bapanya itu seorang periang dan sentiasa memberi sokongan dalam apa juga yang dilakukan.
“Dia seorang lelaki yang sentiasa tersenyum dan sangat ramah. Al-Fatihah buat lelaki yang mengajar saya menjadi berani dan menjadi saya seorang yang terbaik,” ujarnya.
Dalam masa sama pelakon ini turut mengungkap kata-kata rindu buat arwah ibunya.
“Peluk ibu untuk saya. Saya rindu sejak dia tiada. Saya sayang kamu berdua,” luahnya. – Agensi