IPOH, 31 MEI – Pemandu kereta yang tular menerusi video memaparkan aksi bahaya tiga orang kanak-kanak mengeluarkan separuh badan dari tingkap kenderaan ketika bergerak di jalan raya, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
T. Vengadasalabathi, 37, bapa kepada ketiga-tiga kanak-kanak tersebut, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan yang didakwa dilakukan di Jalan Tambun antara pukul 6:20 hingga 6:45 petang, 22 Mac lalu.
Dia dituduh sebagai seorang yang mempunyai penjagaan ke atas ketiga-tiga kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun tersebut telah mendedahkan mereka dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama
