Wednesday, March 26, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa didakwa setelah anak langgar pesara guna basikal

    MILAN, 24 MAC – Seorang bapa terpaksa menghadapi tuduhan membunuh selepas anak lelakinya terlanggar seorang pesara ketika belajar menunggang basikal di sebuah taman baru-baru ini.

    Apa yang sepatutnya menjadi pengalaman manis seorang bapa melihat kebolehan anaknya menunggang basikal telah menjadi mimpin ngeri baginya dan juga nasib malang kepada seorang pesara wanita apabila muncul di tempat yang salah pada masa yang salah.

    Menurut Oddity Central, wanita yang berusia 87 tahun berkenaan sedang bersiar-siar di taman bersama seorang rakan berusia 74 tahun apabila budak lelaki berusia lima tahun terlanggar wanita itu dengan basikal menyebabkan dia terjatuh dan kepalanya terhantuk di atas jalan.

    Pada mulanya pesara itu mendakwa dirinya tidak mengalami kecederaan serius namun bapa budak lelaki yang terlihat kejadian itu, bertegas bahawa dia harus menghubungi ambulans.

    Malangnya, seketika kemudian keadaan wanita itu tiba-tiba berubah menjadi lebih teruk dan walaupun setelah dibantu paramedik, dia telah kehilangan nyawanya.

    Menurut agensi berita Itali ANSA, budak lelaki itu telah ‘hilang kawalan semasa menunggang basikal’ dan melanggar wanita itu ‘pada kelajuan yang sederhana’.

    Basikal itu pula tidak mempunyai roda tambahan yang kemudiannya digunakan oleh pihak pendakwa sebagai motif untuk mendakwa bapanya atas tuduhan membunuh.

    Mereka mendakwa bahawa, bapanya ‘tidak menghalang kejadian itu’ sedangkan dia ‘mampu menghalang kejadian tersebut’.  Jadi ia adalah ‘bersamaan dengan menjadi sebab kejadian itu berlaku’.

    Pendakwa raya juga berhujah bahawa bapa tersebut bersalah kerana tidak ‘mengawasi aktiviti anaknya dengan secukupnya’ lantas mewujudkan situasi yang bahaya apabila membiarkan kenderaan berbahaya ‘dikendalikan oleh seseorang yang tidak mampu menyesuaikan penggunaannya dengan keadaan persekitaran’.

    Hujah tersebut juga menyatakan penggunaan kenderaan berbahaya sedangkan kenderaan yang terlibat hanyalah sebuah basikal untuk kanak-kanak.

    Jika didapati bersalah, bapa tersebut berdepan hukuman penjara, serta AS$219,000 sebagai pampasan kepada keluarga mangsa, melainkan dia dapat membuktikan bahawa dia sememangnya ‘tidak dapat menghalang kejadian itu’.

    Namun, nasib telah menyebelahi bapa tersebut setelah hakim membebaskannya daripada sebarang liabiliti jenayah dengan alasan bahawa kejadian hanyalah pelanggaran kecil dan kesannya pula tidak dapat diramalkan serta bapa tersebut tidak dapat bertindak balas dengan cepat untuk menghalangnya daripada berlaku. – Agensi

    Bapa didakwa setelah anak langgar pesara guna basikal.- Gambar Pexels
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda