KUALA BERANG, 28 MEI – Biasanya saya yang bawa jenazah orang, tak sangka kali ini tiga jenazah anak serentak sampai di rumah…tak sanggup saya nak memandu van jenazah mereka ke tanah perkuburan, biarlah orang lain yang bawa, kata Mohd Ismail, 64.
Bapa kepada tiga beradik yang lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong itu berkata, beliau telah berkhidmat sebagai pemandu van jenazah sejak empat tahun lalu dan tidak pernah membayangkan untuk melalui dugaan berat kehilangan tiga anak lelaki sekali gus, dalam sekelip mata.
“Namun, saya reda kerana itulah ketentuan Allah. Syukur banyak-banyak kerana Allah permudahkan urusan sepanjang operasi mencari dan menyelamat dilakukan.
“Insyaallah, mati sebab lemas akan dikurniakan syahid kecil… ketiga-tiga mereka adalah anak harapan keluarga, ringan tulang dan hormatkan orang tua. Mungkin ada kebaikan yang mereka lakukan sehingga Allah permudahkan urusan mereka,” katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Besar Te rengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pelbagai pihak yang turun padang, menziarahi serta membantu melancarkan lagi urusan sehingga ke proses pengebumian jenazah yang dijangka dilakukan selepas Asar di Tanah Perkuburan Alor Limbat di Marang.
Khalif Naim bersama dua abangnya, iaitu Umar Iskandar, 21 dan Khairil Firdaus, 17, dikatakan ke sungai itu yang terletak hanya 200 meter dari rumah mereka, kira-kira 6 petang semalam.
Mayat ketiga beradik itu ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai yang mana mayat pertama, Umar Iskandar ditemui 100 meter dari lokasi kejadian pada pukul 9:50 pagi.
Ia disusuli mayat kedua, Khairil Firdaus, pada jarak 150 meter pada pukul 11:36 pagi dan mayat terakhir, Khalif Naim, pula ditemui pada pukul 12 tengah hari tadi, dengan jarak 170 meter.
Khairil Firdaus ialah pelajar tingkatan lima Sekolah Agama Mahmudiah, Kuala Berang, manakala Umar Iskandar adalah penuntut Universiti Malaya. – Bernama
