Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa kandung, ibu tiri dera anak 6 tahun ditahan

    SEREMBAN, 13 SEPT – Polis menahan pekerja kilang dan isterinya di Bahau dekat Seremban semalam kerana disyaki mendera anak lelakinya berusia enam tahun sejak Mac lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki terbabit yang juga bapa kandung mangsa berumur 27 tahun dan wanita yang dipercayai ibu tiri mangsa berumur 31 tahun ditahan selepas polis menerima maklumat awam berkenaan kejadian itu.

    Beliau berkata maklumat mengatakan seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan anak sulung daripada empat beradik, melarikan diri dari rumah akibat didera kira-kira pukul 2:30 petang.

    “Mangsa dipercayai dipukul oleh bapa kandung dan ibu tiri dengan tangan, menendang, merotan dan menggunakan senduk kayu. Tiga lagi anak lain tidak didera.

    “Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat banyak kesan parut dan luka di seluruh tubuh badannya. Kanak-kanak itu telah menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Pilah dan doktor mengesahkannya mengalami pelbagai kecederaan pada tubuh badan,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

    Hoo berkata kedua-dua suspek kemudian direman selama seminggu bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. – Bernama

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda