KUCHING, 31 Jan – Bapa mangsa kes letupan CityOne, Tchee Foh Hin bakal menerima sebuah rumah yang selesa di tanah miliknya di Stutong Baru, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.
Beliau berkata rumah yang bernilai RM76,000 itu akan dibina di bawah Program Rumah Sejahteraku yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak.
“Proses pembinaan akan bermula sejurus selepas sambutan Tahun Baharu Cina pada 15 Feb hadapan memandangkan surat hak milik tanah telahpun diserahkan oleh pihak Kerajaan Negeri kepadanya semalam.
“Manakala untuk kos pembinaan rumah akan ditanggung oleh kerajaan Pakatan Harapan dan hasil sumbangan orang ramai yang prihatin, ” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman bapa mangsa.
Tambah Chong, rumah yang bakal dibina tapak baharu itu kelak akan mempunyai tiga bilik tidur, satu bilik air, dapur, ruang tamu serta tempat letak kereta yang dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik.
Kejadian letupan gas di CityOne Megamall pada 3 Dis lepas mengorbankan tiga nyawa, seorang daripada mangsa ialah anak Foh Hin yang dikenali sebagai Tchee Kiom Joong, 24 tahun. – Bernama
