KUALA LUMPUR, 27 DIS – Seorang lelaki warga Mesir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melilit leher anak lelakinya dengan kabel telefon dan melambung anak perempuannya ke atas katil, minggu lepas.
Bapa berusia 37 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap anak lelakinya berusia empat tahun dua bulan manakala anak perempuannya berumur setahun enam bulan sehingga menyebabkan kecederaan kepada kedua-dua mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik sewanya di Jalan Maarof Bangsar, Brickfields di sini pada 8.30 pagi, 17 Disember.
Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan tidak mencadangkan jaminan atas alasan, kesalahan itu tidak boleh dijamin dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan 20 Jan untuk sebutan kes, serahan dokumen dan lantikan peguam. – Bernama