Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Seorang bapa dihadapkan di Mahkamah Perantaraan, semalam atas dakwaan merogol empat anak perempuannya dan seorang lagi perempuan lain.
Bagaimanapun lelaki yang namanya tidak dapat didedahkan untuk melindungi identiti mangsa, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Lelaki itu didakwa merogol anaknya iaitu mangsa ‘A’ pada 2002 ketika berusia lapan tahun dan beberapa kali pada tahun 2008.
Dia juga berdepan tuduhan merogol anaknya iaitu mangsa ‘B’ ketika berusia lima tahun pada 2005, antara tahun 2009 dan 2010 dan pada 2012.
Dia juga didakwa merogol anaknya mangsa ‘C’ ketika berusia 10 tahun antara tahun 2010 dan 2011, dan juga antara 2013 dan 2014.
Tertuduh juga menghadapi tuduhan cuba merogol anaknya mangsa ‘D’ yang berusia lapan tahun pada 2004, dan melakukan cabul terhadapnya pada 2009 dan 2012.
Dia juga didakwa merogol seorang budak perempuan berusia lima tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Sharon Yeo mengemukakan hukuman lima hingga 30 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan jika disabit dengan kesalahan.
Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menetapkan 31 Julai untuk sebutan kes dan memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman.