Tuesday, September 10, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa mengamuk tembak hakim pertandingan ratu cantik

    ALTAMIRA, 8 OGOS – Pertandingan ratu cantik serantau di Altamira, Brazil berakhir dengan tragedi selepas bapa kepada salah seorang peserta mula menembak hakim kerana anak perempuannya hanya mendapat tempat keempat.

    Memetik dari Oddity Central, insiden tragis itu berlaku pada 28 Julai selepas tamat pertandingan ratu cantik II Baile da Escolha da Rainha di bandar Altamira.

    Kira-kira beberapa jam selepas peraduan tamat, bapa kepada salah seorang peserta, seorang penternak tempatan yang dikenali sebagai Sebastiao Francisco, mula menyuarakan rasa tidak puas hatinya mengenai anak perempuannya yang mendapat tempat keempat dalam pertandingan itu dengan mempersoalkan keputusan hakim dan kriteria penilaian dalam pertandingan itu.

    Kawasan pertandingan itu diawasi oleh pihak keselamatan swasta dan polis tentera, tetapi bapa yang marah itu nampaknya tidak peduli apabila dia mengeluarkan pistol dan cuba menembak salah seorang hakim, tetapi dirinya ditembak oleh polis.

    Menurut saksi, Francisco menganggap penamat tempat keempat anak perempuannya dalam pertandingan ratu cantik adalah sebagai satu penghinaan kerana dia terlampau yakin anaknya ‘pasti menang’. Setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan hakim, dia cuba mengambil keputusan sendiri tetapi ditembak polis. Dia kemudian dibawa ke hospital tetapi meninggal dunia akibat kecederaannya.

    Dewan di mana kejadian tragis itu berlaku dilaporkan sesak semasa kejadian dan pegawai tidak mempunyai pilihan selain bertindak melepaskan tembakan ke arah bapa yang marah itu untuk melindungi orang ramai. Bagaimanapun, lelaki itu sempat melepaskan beberapa das tembakan dan mencederakan seorang mangsa yang kemudiannya dimasukkan ke hospital.

    Siasatan terhadap kejadian ini masih dijalankan untuk menentukan sama ada polis tentera boleh menghalang kematian bapa yang pemarah itu. – Agensi

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda