Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa ‘sado’ dihadapkan ke mahkamah

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Seorang bapa ‘sado’ dan bapa saudara dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, apabila perbuatan mereka mencederakan dan melakukan kekerasan terhadap seorang guru sekolah menengah dirakam dan menjadi tular di media sosial.

    Pegawai Waran 2 Mohammad Yusirwan bin Yussof, 38, dan Mohammad Yadiy Yusranshah bin Yussof, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka oleh jurubahasa mahkamah.

    Mohammad Yusirwan didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan kepada guru lelaki tersebut yang berusia 30 tahun dengan menendang di bahagian abdomen dan melakukan kekerasan dengan menudingnya sebagai gerak isyarat untuk menunjukkan rasa marah sambil menjerit kepada mangsa.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Penggal 22 dan Seksyen 352 Kanun Keseksaan, Penggal 22 yang memperuntukkan penjara yang boleh dilanjutkan sehingga tiga tahun atau dengan denda.

    Sementara itu, Mohammad Yadiy Yusranshah berdepan tuduhan melakukan kekerasan dengan menuding ke arah mangsa sebagai gerak isyarat untuk menunjukkan rasa marah sambil menjerit padanya.

    Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Pejabat Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar sekitar jam 10 pagi pada 16 September 2017.

    Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, dilepaskan dengan ikat jamin, masing-masing $2,000 atau seorang penjamin tempatan dan $1,000 atau seorang penjamin tempatan.

    Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan kes untuk disebut semula pada 10 Oktober. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda