Monday, July 14, 2025
26.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa terperangkap lebih dua jam dalam runtuhan salji

    GRENOBLE, PERANCIS, 29 JAN – Seorang lelaki yang bersiar-siar bersama keluarganya di Alp Perancis berjaya terselamat daripada runtuhan salji selepas menghabiskan lebih dua setengah jam terperangkap di bawah salji, kata anggota penyelamat.

    Bapa berusia 50 tahun itu sedang berjalan-jalan berhampiran tempat peranginan Val d’Isere bersama isteri dan dua anaknya semalam tanpa memakai peralatan keselamatan anti-runtuhan salji.

    “Lelaki itu ditemui hidup oleh 100 anggota penyelamat selepas mencari dua jam dan 40 minit,” umum polis untuk rantau Savoie di Twitter.

    Disebabkan kedalaman salji, anjing menyelamat gagal mengesannya, namun lelaki itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan polis khas yang menggunakan alat Wolfhound untuk menjejaki telefon bimbitnya di bawah ais.

    “Saya fikir ia satu keajaiban,” beritahu Alexandre Grether dari pasukan menyelamat PGHM kepada saluran berita tempatan France 3, menambah lelaki itu ditemui 2.5 meter di bawah permukaan salji.

    Peluang hidup selepas lebih 20 minit dalam runtuhan salji biasanya amat tipis.

    “Dia dilindungi oleh pokok, yang menghalangnya daripada dihimpit oleh ais yang meluncur turun. Salji telah mengelilinginya tetapi dia masih mempunyai ruang udara,” jelasnya.

    Mangsa dijangka sembuh sepenuhnya selepas mengalami pinggul retak. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda