Tuesday, July 22, 2025
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bapa Zayn Rayyan bebas tuduhan pengabaian

    PETALING JAYA, 21 JULAI – Mahkamah Sesyen hari ini melepaskan dan membebaskan bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matin, iaitu Zaim Ikhwan Zahari daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas.

    Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan, 30, pada akhir kes pendakwaan.

    Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan ibu kepada Zayn Rayyan, iaitu Ismanira Abdul Manaf, 30, membela diri atas pertuduhan sama.

    Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Disember hingga 9:55 malam 6 Disember 2023.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Hakim Syahliza dalam penghakiman ringkasnya berkata setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan secara penilaian maksimum serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaim Ikhwan pada akhir kes pendakwaan. – Bernama

    Gambar menunjukkan Zaim Ikhwan (kiri) dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen pada 21 Julai. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda