Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI- Pasukan sukan bagi acara perlumbaan berhalangan (OCR) Kebangsaan, Brunei Adventure Recreation Association (BARA) bersedia untuk beraksi pada Kejohanan Sukan Berhalangan Asia 2024 yang akan berlangsung di Piazza of Pavilion, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia bermula 18 Julai hingga 21 Julai.
Pasukan atlet Brunei yang bakal beraksi dalam kejohanan berkenaan ialah Awang Muhd Hasnal Husna bin Ahmad, Azizil Anwar bin Mosli, Haji Muhd Hafizh bin Abdul Khalid, Mohamad Izzat bin Dato Paduka Haji Mohamad Murad, Low Leng May, Sofiyah Syairah binti Haji Saifulizan dan Gabrielle Chin Siew Li.
Atlet-atlet berkenaan akan dibimbing oleh jurulatih, Pengiran Muhamad Rafie Pengiran Saiful Redzalli dan Jessamine Juanita Yee Kuan Mey dibawah kepimpinan Presiden BARA, Yasmin Patera.
Kejohanan Sukan Berhalangan Asia 2024 dianjurkan oleh Malaysia Obstacle Race Sports Association (MORSA) dan dibawah naugan World Obstacle Federation (FISO), akan mengetengahkan atlet-atlet dari serata Asia dengan peserta dari Australia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam, Singapura, Malaysia, Hong Kong, Filipina dan Iran.
Para atlet akan bertanding dalam siri acara-acara mencabar yang direka untuk menguji kekuatan, ketangkasan, ketahanan dan kemahiran menyelesaikan masalah.
Kategori-kategori dalam kejohanan berkenaan adalah OCR 100M – Elite dan Terbuka (Lelaki, Wanita, Kanak-Kanak dan Belia) serta Team Relay bagi Lelaki, Wanita, Kanak-Kanak dan Belia.
Kejohanan itu bermatlamat untuk mempromosikan acara perlumbaan berhalangan (OCR) sebagai sebuah sukan kompetitif di Asia serta menyediakan sebuah platform bagi atlet-atlet untuk mengetengahkan bakat mereka di pentas antarabangsa.
