(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Berusaha atau berkerja mencari rezeki yang halal merupakan satu tuntutan syara‘. Salah satu cara untuk mendapatkan rezeki yang halal ialah dengan cara berusaha atau berkerja melalui aktiviti berjual beli ataupun disebut juga dengan istilah berniaga. Tetapi, jual beli yang bagaimana yang boleh menjana pendapatan atau rezeki yang halal itu?
Perlu diambil perhatian, walaupun aktiviti jual beli mampu menjana keuntungan, tetapi tidak semuanya boleh menjana pendapatan atau rezeki yang halal. Hanya aktiviti jual beli yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh syara‘ sahaja yang boleh menjana pendapatan atau rezeki yang halal. Salah satu perkara yang perlu diperhatikan untuk menjadikan jual beli itu dianggap sah di sisi syara‘ ialah dari segi jenis barang yang diperjualbelikan atau diperniagakan.
Islam menetapkan bahawa tidak semua jenis barang sah untuk diperjualbelikan atau diperniagakan. Bahkan di samping terdapat jenis barang yang sah diperjuabelikan terdapat juga jenis barang yang tidak sah diperjualbelikan. Sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh dalam bab muamalat terdapat beberapa syarat yang diletakkan yang mesti dipenuhi bagi sesuatu barang yang diperjualbelikan. Untuk itu adalah elok bagi kita khususnya bagi mereka yang menjalankan perniagaan mengetahui dan memahami dengan baik syarat-syarat tersebut.
SYARAT-SYARAT BARANG YANG DIPERJUALBELIKAN
Setiap barang yang diperjualbelikan hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
1. SESUATU YANG WUJUD
Dalam jual beli, barang yang dijual hendaklah ia merupakan suatu yang wujud. Menjual suatu barang yang tidak wujud hukumnya adalah tidak sah. Sebagai contoh, menjual buah yang belum ada, menjual anak binatang yang belum wujud di dalam kandungan ibunya dan sebagainya. Hatta, menjual anak binatang yang sudah ada di dalam kandungan ibunya, atau menjual susu yang belum diperah daripada kantung susu binatang juga termasuk di dalam perkara menjual sesuatu yang tidak wujud.

Ini kerana menjual sesuatu yang belum wujud itu terkandung di dalamnya elemen ketidakjelasan atau disebut dalam istilah fiqh sebagai gharar. Gharar ialah suatu yang tidak jelas kepada orang yang berakad jual beli dan tidak jelas pula apakah kesudahannya.
Apabila wujud elemen ketidakjelasan (gharar) dalam jual beli maka ia dilarang menurut hukum syara‘.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang jual beli dengan cara melempar batu (al-hashah) dan jual beli yang tidak jelas keadaannya (gharar).
(Hadits riwayat Muslim)
2. MEMPUNYAI NILAI
Elemen “mempunyai nilai dari pandangan syara‘” juga merupakan syarat yang mesti ada bagi sesuatu yang diperjualbelikan. Tidak sah suatu transaksi jual beli jika barang yang diperjualbelikan itu merupakan barang yang tidak mempunyai nilai di sisi syara‘. Apabila transaksi tersebut tidak sah maka bayaran yang diterima sebagai hasil jualan barang tersebut adalah dianggap sebagai mengambil harta orang lain secara batil.
Perlu diketahui, tidak semua benda atau barang mempunyai nilai di sisi syara‘ walaupun benda itu mempunyai nilai yang tinggi di pasaran. Jika begitu kedudukannya, apakah kriteria yang perlu ada bagi sesuatu benda atau barang sehinggakan ia boleh dianggap mempunyai nilai di sisi syara‘?
Salah satu kriteria yang mesti ada, hendaklah benda atau barang itu adalah sesuatu yang suci. Sesuatu benda atau barang tidak dianggap mempunyai nilai di sisi syara‘ jika ia merupakan benda yang najis. Sebagai contoh, minuman arak.