Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sambungan dari minggu lepas
Walaupun adakalanya sebilangan jenis minuman arak mempunyai nilai yang tinggi di pasaran, tetapi menurut syara‘ ia termasuk barang yang tidak mempunyai nilai. Ini kerana ia adalah minuman yang diharamkan dan juga dianggap najis. Oleh itu, tidak sah menjual minuman arak kepada orang lain.
Contoh yang lain lagi bagi benda-benda yang dianggap najis ialah anjing, babi, kulit bangkai yang belum disamak, makanan yang bersumber daripada binatang yang tidak disembelih dan apa-apa sahaja benda yang dianggap najis oleh syara‘.
Perkara ini adalah berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallahu ‘anhu, sesungguhnya beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda pada tahun pembukaan Makkah yang maksudnya:
Sesungguhnya Allah dan RasulNya telah mengharamkan menjual arak, bangkai, babi dan patung berhala. Lalu dikatakan kepada Baginda: Wahai Rasulullah, bagaimana pandangan tuan mengenai (menjual) lemak bangkai, kerana sesungguhnya lemak bangkai dapat digunakan untuk mengecat perahu, menyamak kulit dan digunakan oleh orang ramai untuk lampu mereka bernyala? Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Jangan (kamu jual lemak bangkai, menjualnya) adalah haram. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda ketika itu: Semoga Allah melaknat Yahudi, sesungguhnya ketika Allah mengharamkan lemak bangkai, mereka mencairkannya, kemudian mereka menjualnya, lalu mereka memakan harganya (hasil jualannya).
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Mas‘ud al-Anshari Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada hasil jualan anjing.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Begitu juga, tidak sah memperjualbelikan benda suci yang terkena najis yang tidak dapat disucikan seperti minuman jus buah yang bercampur dengan minuman arak. Akan tetapi, jika benda yang suci yang terkena najis itu boleh disucikan semula, seperti baju yang terkena najis yang boleh disucikan semula, maka hukumnya adalah sah untuk diperjualbelikannya.
Selain itu, kriteria yang mesti ada ialah hendaklah benda atau barang itu adalah sesuatu yang mempunyai manfaat di sisi syara‘. Sesuatu benda atau barang dianggap tidak mempunyai manfaat di sisi syara‘ adakalanya disebabkan kuantitinya terlalu sedikit seperti sebutir beras, sebutir gandum dan sebagainya, dan adakalanya juga disebabkan benda itu dianggap suatu yang remeh dan tidak mempunyai nilai seperti binatang semut, tikus, ular, burung gagak dan lain-lain lagi.
Alat-alat muzik yang diharamkan walaupun ia mempunyai nilai di pasaran, bahkan setengah jenis alat muzik dijual dengan harga yang mahal, juga dianggap sebagai harta yang tidak bernilai di sisi syara‘. Ini kerana alat-alat tersebut haram hukumnya untuk dimanfaatkan.
Oleh itu, tidak sah suatu transaksi jual beli jika barang yang diperjualbelikan itu merupakan barang atau benda yang najis atau yang tidak bermanfaat menurut pandangan syara‘.
1. KEBOLEHSERAHAN BARANG JUALAN
Antara syarat lain lagi bagi barang yang boleh diperjualbelikan ialah hendaklah barang tersebut boleh atau mampu diserahkan oleh penjual kepada pembeli. Ini adalah bagi memberi keyakinan kepada pembeli bahawa dia boleh mendapat atau menerima barang yang dijual sebagai tukaran kepada harga yang akan dibayarnya. Dan apabila barang yang dijual boleh atau mampu diserahkan oleh penjual kepada pembeli, maka yang demikian itu dapat mengelakkan dari jual beli yang tidak jelas (gharar) yang ditegah oleh syara‘.
Tidak sah suatu transaksi jual beli jika barang yang diperjualbelikan itu merupakan barang yang tidak boleh diserahkan atau dipindah milik.
Kebolehserahan suatu barang adakalanya tidak dapat berlaku disebabkan halangan yang ditetapkan oleh syara‘ seperti menjual barang yang digadai. Tidak sah menjual barang gadaian yang berada di tangan penerima barang gadaian (al-murtahin) tanpa keizinannya.
Kebolehserahan suatu barang adakalanya juga tidak dapat berlaku disebabkan penjual sendiri tidak mampu menyerahkannya kepada pembeli seperti menjual burung yang berada di udara. Tidak sah menjual burung yang berada di udara, walaupun burung tersebut pada kebiasaannya akan pulang ke sarangnya. Sebagai contoh lagi, menjual ikan yang bebas berenang di sungai (bukan di dalam sangkar). Hukumnya adalah tidak sah. Ini kerana transaksi seperti ini terdapat di dalamnya elemen ketidakjelasan (gharar).
2. HAK MILIK PENJUAL
Untuk menjual suatu barang kepada orang lain (pembeli), barang yang hendak dijual itu hendaklah terdiri daripada barang yang dimiliki oleh penjual. Tidak sah hukumnya suatu transaksi jual beli jika barang yang dijual itu merupakan milik orang lain. Begitu juga, tidak sah hukumnya jika seseorang tampil menjualkan barang orang lain tanpa izin pemilik barang tersebut.
Diriwayatkan daripada Hakeem bin Hizam Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya:
Aku datang berjumpa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka aku berkata: Seorang laki-laki datang kepadaku meminta kepadaku untuk menjual suatu barang yang belum saya miliki, apakah aku boleh membeli di pasar, kemudian saya menjualnya kepadanya?
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Janganlah engkau menjual sesuatu yang belum engkau miliki.
(Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)
Akan tetapi jika sekiranya seseorang menjual barang yang dimiliki oleh orang lain atas kapasitinya sebagai wakil yang dilantik oleh pemilik barang, ataupun atas kapasitinya sebagai wali kepada pemilik barang, maka hukum jual beli tersebut adalah sah. Ini kerana syara‘ telah memberinya kuasa untuk menjual barang tersebut bagi pihak pemilik barang.
Isu yang berkaitan dalam hal ini juga ialah hukum pembeli menjual barang yang telah dibeli sebelum berlaku serah terima (taqaabudh) barang tersebut daripada penjual.
Sebagai contoh, si A membeli telefon bimbit daripada si B. Akan tetapi, sebelum si A menerima telepon bimbit tersebut daripada si B, si A menjualnya kepada si D. Dalam hal ini, transaksi di antara si A dan si D dihukumkan tidak sah walaupun si B sudah menerima bayaran daripada si A, dan walaupun si B memberi keizinan kepada si A untuk menjualnya kepada si D. Ini kerana pemilikan si A dalam hal ini belum dikira sempurna.
Ini adalah berdasarkan riwayat Hakeem bin Hizam Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku melakukan penjualan yang banyak, maka apakah yang halal bagiku daripada apa yang diharamkan?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
Jangan engkau jual selagi engkau belum memilikinya.
(Hadits riwayat al-Baihaqi)
3. SESUATU YANG DIKETAHUI OLEH PENJUAL DAN PEMBELI
Antara lain syarat bagi barang jualan itu juga ialah barang tersebut hendaklah sesuatu yang diketahui atau dimaklumi oleh orang yang berakad jual beli.
Oleh itu, jika penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada tuan salah satu daripada dua helai baju ini”, ataupun penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada tuan seekor kambing daripada beberapa ekor kambing saya dalam kandang ini”, hukum jual beli seperti ini adalah tidak sah walaupun kedua-dua baju tersebut atau kambing-kambing tersebut mempunyai nilai yang sama.
Pembeli dalam hal ini tidak mengetahui dengan jelas baju atau kambing yang mana satu yang dijual kepadanya. Perkara ini boleh sahaja membawa kepada pertikaian dan pertelingkahan. Selain itu, di dalamnya terdapat elemen ketidakjelasan (gharar) tanpa ada keperluan, sedang jual beli yang terdapat di dalamnya gharar adalah dilarang oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadits yang disebutkan terdahulu.
Tetapi tidaklah disyaratkan barang yang diperjualbelikan itu diketahui atau dimaklumi oleh orang yang berakad jual beli secara terperinci dari segenap sudut.
Bahkan jika barang yang di perjualbelikan itu wujud di hadapan orang yang berakad jual beli dan disaksikan atau dilihat oleh mereka maka yang demikian itu dianggap sudah memadai. Dalam hal ini, sah jual beli walaupun penjual tidak menyebutkan mengenai berapa kadar (timbangan atau sukatan atau sebagainya) barang tersebut dan mengenai sifat barang tersebut.
Sebagai contoh, penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada tuan baju ini (sambil penjual menunjuk kepada baju tersebut) dengan harga $15.00.” Sebagai contoh lagi, penjual berkata kepada pembeli: “Saya jual kepada tuan setompok / selonggok gandum ini dengan harga $5.00”. Akad jual beli dalam kedua-dua contoh ini hukumnya adalah sah kerana barang yang diperjualbelikan telah diketahui atau dimaklumi oleh orang yang berakad jual beli melalui penyaksian mereka terhadap barang tersebut.
Sebagai kesimpulan, antara hikmat di sebalik pengenaan syarat-syarat bagi barang yang diperjualbelikan menunjukkan Islam amat memelihara ketelusan dalam berjual beli. Tidak ada perkara yang boleh diselindungkan di antara penjual dan pembeli.
Tidak boleh wujud ketidakjelasan (gharar) pada barang yang diperjualbelikan. Apabila wujud ketelusan di antara penjual dan pembeli maka prinsip at-taraadhi (persetujuan kedua belah pihak) yang dituntut dalam transaksi jualbeli dapat dicapai melaluinya.
Selain itu, sistem jual beli dalam Islam bukan setakat untuk meraih keuntungan tetapi juga bagi memelihara nilai-nilai akhlak yang murni.
Oleh sebab itu, Islam melarang penjualan barang-barang yang diharamkan dan menganggapnya sebagai barang yang tidak mempunyai nilai.