Oleh Nurdiyanah R.
Meskipun satu kenangan itu sukar diputar kembali, namun segalanya pasti bersemadi dalam sanubari, lebih-lebih lagi jika ia diabadikan dalam bentuk fizikal atau sekurang-kurangnya ia masih dapat dilihat sehingga ke detik ini.
Salah satu kenangan yang dapat diterjemahkan ke dunia realiti ialah barangan antik atau ada juga yang menggelarnya sebagai barang klasik, ‘rare’ atau pun vintaj, namun semuanya pasti memiliki nilai sentimental tersendiri bagi para pemiliknya.
Seketika, mata penulis bagaikan terpanah apabila menoleh ke ruang sudut sebuah almari. Tersusun di dalamnya beberapa koleksi barangan antik. Umpama cinta sejati, hadirnya sukar diganti. Begitulah rasa kecintaan pasangan suami isteri ini kepada koleksi barangan antik milik mereka.
“Semua koleksi pinggan, mangkuk, teko dan cawan ini memiliki jalan ceritanya yang tersendiri. Melihatnya tersusun rapi di dalam almari seakan-akan mengimbau kembali suasana nostalgia sewaktu meniti zaman kanak-kanak semasa mengadakan majlis-majlis keramaian bersama ahli keluarga suatu ketika dahulu.
“Menjadi penyejuk mata ahli-ahli keluarga dan sahabat-handai ketika berkunjung di rumah sambil berkongsi kisah tersirat padanya, itulah kemanisan yang dirasai selama ini,” itulah antara kata-kata salah seorang peminat tegar koleksi barangan antik pinggan mangkuk sejak 15 tahun lalu, Hajah Mardinah binti Haji Sulaiman semasa ditemui Media Permata bersama suaminya, Haji Yahya bin Haji Abdul Rahman, baru-baru ini.



Uniknya sentuhan klasik
Berkongsi minat yang sama bersama isteri tercinta, Haji Yahya mengungkapkan melihat reka bentuk mahu pun corak serta kombinasi warna yang terdapat pada barangan antik itulah antara perkara yang telah menawan hatinya untuk lebih menghargai khazanah lama itu.
“Menyaksikan kecintaan isteri kepada barangan antik ini, lama-kelamaan kecintaan itu turut mengalir pada hati dan jiwa ini.
“Bermula dari situ, saya semakin giat untuk menerokai dan menambah koleksi barangan antik ini daripada kalangan penggemar dalam lingkungan ahli keluarga dan saudara-mara serta para pengumpul menerusi dalam talian yang bukan hanya terdiri dari orang-orang tempatan bahkan juga negara-negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia,” jelasnya lagi.
Begitu dekat di hati
“Selain berjual beli dan bertukar barangan antara satu sama lain, kami juga saling berkongsi barangan antik yang telah dikumpulkan, itulah detik-detik kemanisan yang kami lakukan sesama insan-insan yang memiliki kecintaan yang serupa,” jelasnya.
Sebagai peminat tegar barangan antik khususnya pinggan mangkuk ini, pasangan suami isteri ini begitu merasakan kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata apabila dapat mengumpul koleksi barangan antik tersebut dengan set yang lengkap. Antara yang dimilikinya ialah koleksi pinggan mangkuk berjenama ‘Dumex’ dan corak rekaan bermotif bunga-bungaan. Salah satunya diberi nama ‘Bunga Kangkung’.
Jelas Hajah Mardinah, satu set cawan dan piring kecil ini pastinya suatu yang begitu dekat di hati ini apabila barang-barang antik itu merupakan pemberian ibu bapa beliau sewaktu masih kecil sebagai barang permainan.
“Ketika itu, set barangan antik inilah menjadi peneman diri untuk menikmati detik-detik bermain ‘minum kopi dan teh’. Saya begitu menyayanginya,” tambahnya dengan tawa riang yang turut bersyukur barangan berkenaan masih utuh tanpa sebarang keretakan.
Selain itu, kecintaan pasangan suami isteri ini terhadap koleksi khazanah lama ini juga semakin bersemarak dengan adanya beberapa koleksi turun-temurun yang diperolehi daripada nenek-moyang mereka.
Bagaikan memiliki jiwa
Ujar Haji Yahya, bukan hanya kerana usia dan reka bentuknya yang unik tetapi ia bagaikan memiliki jiwa kerana sebahagian barangan itu merupakan pinggan mangkuk yang pernah digunakan oleh datuk dan neneknya suatu ketika dahulu.
“Dengan adanya koleksi ini, adalah menjadi harapan besar kami untuk berkongsi pengalaman peribadi yang tersirat di sebaliknya lebih-lebih lagi kepada generasi muda kita agar zaman kegemilangan nenek moyang kita suatu ketika dahulu sentiasa segar dalam ingatan meski pun zaman silih berganti,” tambahnya dengan penuh ketulusan yang turut memiliki perancangan bersama isterinya untuk menubuhkan sebuah galeri khas serta berhasrat untuk sentiasa menambah koleksi antik bersama penggemar yang bukan hanya terdiri daripada masyarakat tempatan dan negara jiran bahkan juga meliputi penggemarnya di negara-negara Eropah.