BEIJING, 28 JUN – Kumpulan pertama barangan bantuan yang disumbangkan kerajaan China dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul, Afghanistan kelmarin.
Duta China ke Afghanistan, Wang Yu dan Pemangku Menteri Pengurusan Bencana dan Hal Ehwal Kemanusiaan Kerajaan Sementara Afghanistan, Ghulam Ghaws Naseri menghadiri majlis penyerahan sumbangan itu.
Wang dalam ucapannya berkata bahawa kerajaan China memutuskan untuk menghulurkan bantuan bernilai RMB50 juta (kira-kira RM32 juta) sebagai bekalan bantuan kemanusiaan kecemasan ke Afghanistan, dan antara bekalan yang diberikan termasuk khemah, katil lipat serta selimut.
“Enam lagi kapal terbang China akan menghantar bekalan bantuan dalam tempoh tiga hari lagi.
“Semua bekalan makanan yang dijanjikan oleh China dalam bantuan kepada Afghanistan juga telah tiba,” katanya.
Susulan sumbangan tersebut, Naseri turut menzahirkan penghargaan kepada China atas bekalan bantuan kecemasan sejurus selepas gempa bumi berlaku.
Beliau juga berkata bahawa langkah yang disusuli ucapan takziah itu sekali gus menunjukkan persahabatan yang lama antara rakyat kedua-dua buah negara.
Pada 22 Jun, gempa bumi kuat di bahagian tenggara Afghanistan mengorbankan lebih 1,000 orang dan mencederakan hampir 2,000 yang lain sementara memusnahkan puluhan ribu rumah. – Bernama
