Sunday, March 30, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barangan cuba diseludup lebih RM800,000 berjaya dirampas

    KOTA KINABALU, 26 MAC – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas minuman keras, rokok dan barangan elektrik yang disyaki cuba diseludup masuk bernilai RM878,858 dalam empat serbuan berasingan baru-baru ini.

    Memangku Tugas-Tugas (MTT) Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Saidin Jalaluddin berkata kesemua barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk untuk pasaran tempatan dengan diikrarkan sebagai barangan lain.

    “Rampasan pertama dilakukan hasil pemeriksaan terhadap tiga kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 4 Mac lepas, dengan menemukan 41,472 minuman keras pelbagai jenis tidak berkastam bernilai keseluruhan RM809,028,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

    Beliau berkata dalam serbuan di sebuah premis di bandar raya ini kira-kira 2 petang hari sama, pasukan operasi kastam merampas 751.16 liter minuman keras pelbagai jenis bernilai RM2,144 dengan jumlah cukai terlibat sebanyak RM6,723.

    Saidin berkata menerusi rampasan ketiga pada 5 dan 7 Mac lepas di sebuah stor di kawasan ladang dan pasar tamu Brumas, Tawau, pasukan operasi merampas 26,726 batang rokok seludup dianggar bernilai RM25,015.

    “Rampasan keempat pula pada 6 Mac lepas membabitkan wayar dan barangan elektrik di kawasan Terminal Bas Ekspress Lahad Datu. Antara dirampas ialah 216 gulung wayar dan lampu LED pelbagai jenama disyaki barang larangan dianggar bernilai RM5,060 termasuk cukai,” katanya.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, keempat-empat kes didapati menggunakan modus operandi dengan membuat pengikraran palsu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967. – Bernama

    Saidin dan pegawainya menunjukkan rampasan minuman keras semasa sidang media terbabit. – Utusan Borneo
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda