KOTA KINABALU, 17 Jan – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas minuman keras dan rokok bernilai kira-kira RM10.13 juta termasuk cukai dalam tiga kes berasingan di Sabah dari 8 hingga 12 Jan lepas.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam Datuk Zulkifli Yahya berkata dalam kes pertama, agensi itu merampas 1,076 karton minuman keras jenama ‘Cool Beer’ dari sebuah lori yang diletakkan di belakang deretan kedai di Taman Kasugui 3, Penampang pada 8 Jan lalu, kira-kira jam 9.10 malam.
Katanya pihak kastam sedang giat mengesan syarikat pemilik lori berkenaan untuk membantu siasatan.
Menurut Zulkifli, pada 12 Januari, kira-kira jam 9.15 pagi pula, agensi itu menahan dua kontena dari Singapura di Pelabuhan Sepangar yang mengandungi bir jenama ‘Tiger Beer’.
“Anggota penguat kuasa JKDM Kota Kinabalu telah menahan dua buah kontena dari Singapura yang telah tiba di Pelabuhan Sepanggar dan disyaki mengikrarkan barang dagangan sebagai cecair pembersih dan magnesium sulphate heptahydrate iaitu berlainan dengan muatan sebenar.
“Hasil pemeriksaan ke atas muatan dagangan dalam kontena-kontena tersebut didapati mengandungi minuman keras jenis bir berjenama ‘Tiger Beer’,” kata Zulkifli kepada pemberita di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Kastam Sabah Datuk Hamzah Sundang.
Katanya hasil tangkapan berkenaan, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun yang bekerja sebagai ejen penghantaran sebuah syarikat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.
“Kita telah bagi surat tunjuk sebab kepada ejen penghantaran berkenaan untuk kita ambil tindakan membatalkan lesen ejen penghantaran yang telah kita berikan kepada syarikat ini,”katanya.
Menurut Zulkifli, pada tarikh yang sama, kira-kira jam 5.30 petang, agensi itu merampas 1,075 kartun rokok bersamaan dengan 10.75 juta batang rokok di Pelabuhan Tawau, Tawau.
Katanya berikutan tangkapan itu, seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun yang merupakan pengurus sebuah syarikat pengimport ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
“Jumlah nilai harga bagi ketiga-tiga kes ini dianggarkan sebanyak RM2.13 juta yang melibatkan anggaran jumlah cukai melebihi RM8 juta,”katanya. – Bernama