Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barbados isytiharkan jadi negara republik

    BRIDGETOWN, BARBADOS, 30 NOV – Persembahan bunga api menghiasi langit di Barbados hari ini selepas pulau Caribbean itu mengisytiharkannya sebagai negara republik terbaharu di dunia dan memutuskan hubungan dengan monarki British.

    “Republik Barbados akan memulakan perjalanannya,” kata Dame Sandra Mason semasa ucapan pembukaan rasmi sebagai presiden pertama negara tersebut, menekankan ‘kesulitan, perpecahan dan pergolakan dunia’ perlu ditangani.

    “Negara kami mesti mempunyai cita-cita besar dan berjuang untuk merealisasikannya,” kata bekas gabenor jeneral kepada mereka yang berkumpul semasa upacara, yang turut dihadiri oleh Putera Charles dari Britain.

    Era baharu bagi negara yang mempunyai 285,000 penduduk bagi menamatkan pengaruh Britain selama berabad lamanya, termasuk lebih 200 tahun perhambaan sehingga 1834.

    Memberikan ucapan semasa majlis penyerahan, Charles mengambil maklum mengenai kesan perhambaan ke atas kedua-dua buah negara.

    “Dari masa silam yang gelap, dan penghambaan, yang akan kekal dalam ingatan sejarah dan penduduk pulau ini untuk mengorak langkah luar biasa,” beliau berucap kepada penduduk Barbados.

    Perintah berkurung digantungkan sementara bagi membolehkan penduduk Barbados untuk membuat keraian, yang merangkumi persembahan bunga api bagi menandakan hari bersejarah.

    Upacara tersebut ditutup kepada orang ramai namun warga Barbados yang terkenal, penyanyi Rihanna, bersama beberapa pegawai tertinggi bagi acara, menyaksikan perarakan tentera dan perbarisan hormat.

    Barbados, yang terkenal dengan pantai yang indah, meraih kemerdekaan daripada Britain pada 1966.

    Pada Oktober, ia melantik Mason sebagai presiden pertama, setahun selepas Mottley mengisytiharkan negara akan meninggalkan ‘sepenuhnya’ penjajahnya. – AFP

    Putera Charles bersama Perdana Menteri Barbados Mia Mottley semasa menghadiri majlis perasmian pengisytiharan Barbados menjadi sebuah republik. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda