Saturday, February 22, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barca azam kekalkan kedudukan La Liga

    BARCELONA, 21 FEB – Barcelona akan bertandang ke Las Palmas esok dalam saingan La Liga dengan harapan untuk mencapai apa yang gagal dilakukan oleh mereka, juara Real Madrid dan Atletico Madrid dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Setelah kembali ke puncak liga, mendahului Los Blancos dengan perbezaan jaringan, pasukan Hansi Flick bertekad untuk mempertahankan kedudukan.

    Barcelona mendahului sebahagian besar separuh pertama musim ini sebelum prestasi merudum pada November dan Disember menyebabkan mereka jatuh ke tempat ketiga.

    Atletico Madrid mengalahkan Barca menjelang Krismas untuk merampas kedudukan teratas tetapi selepas gagal menang di Leganes pada Januari, Real Madrid mengambil alih selaku pendahulu liga.

    Mereka melebarkan kelebihan tujuh mata di depan Barca di tempat ketiga, tetapi dengan tiada kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir, pasukan Flick berjaya kembali ke persaingan.

    Hansi Flick (tengah) semasa perlawanan bola sepak liga Sepanyol antara FC Barcelona dan Rayo Vallecano de Madrid di Estadi Olimpic Lluis Companys di Barcelona pada 17 Februari. – AFP

    Barca menang 1-0 ke atas Rayo Vallecano pada Isnin untuk merampas kembali kedudukan teratas buat kali pertama pada 2025 dan kali ini mereka berazam untuk mengekalkannya.

    “Kembali ke tempat pertama adalah positif untuk peminat,” kata Flick. “Kini kami kembali dan sangat gembira.”

    Setelah mencatat satu kemenangan sahaja dalam tujuh perlawanan La Liga pada penghujung 2024, Flick mengambil tindakan dengan membawa masuk penjaga gol Wojciech Szczesny dan pemain tengah Frenkie de Jong menggantikan Inaki Pena dan Marc Casado dalam kesebelasan utamanya.

    Barca juga mendapat manfaat daripada rehat musim sejuk untuk memberi peluang kepada pemain yang sudah keletihan dengan gaya permainan dan intensif tinggi diterapkan Flick.

    Ia juga memberi peluang untuk set semula mental, yang diakui oleh pemain dan jurulatih sangat diperlukan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda