LISBON, 22 JAN – Raphinha melakar kemenangan dramatik pada masa kecederaan ketika Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Benfica 5-4 dalam perlawanan hebat, kelmarin, dan memastikan kelayakan automatik ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.
Benfica mendahului 4-2 dengan baki masa kurang 15 minit tetapi Barcelona mencatatkan kebangkitan lewat untuk kekal tiga mata di belakang pendahulu, Liverpool.
Vangelis Pavlidis menjaringkan hatrik pada separuh masa pertama untuk tuan rumah, sebahagiannya hasil daripada dua kesilapan besar penjaga gol Barcelona, Wojciech Szczesny.
Bagaimanapun, dua gol Robert Lewandowski menerusi sepakan penalti; tandukan Eric Garcia; dan dua gol dari Raphinha membantu Barcelona meraih kemenangan yang menakjubkan di Lisbon.
“Ia satu perlawanan yang hebat… Benfica bermain dengan baik pada separuh masa pertama di mana kami melakukan banyak kesilapan,” kata jurulatih Barcelona, Flick.
Barca menunjukkan semangat untuk terus berjuang selepas ketinggalan 3-1 pada separuh masa dan sekali lagi pantas dibolosi selepas Raphinha menjaringkan satu gol.
“Mentaliti pasukan, mereka sentiasa percaya pada diri sendiri dan ini sukar dipercayai.
“Pada separuh masa kedua kami mencipta lebih banyak peluang daripada mereka dan kami berhak mendapatkannya,” kata Flick. – AFP