MADRID, 27 OKT – Robert Lewandowski menjaringkan dua gol dalam masa dua minit ketika Barcelona membelasah pesaing mereka, Real Madrid 4-0 kelmarin, sekali gus menyebabkan juara La Liga itu tewas untuk kali pertama dalam tempoh lebih setahun.
Pemain sayap remaja, Lamine Yamal dan Raphinha melengkapkan kemenangan besar itu, manakala bintang Madrid, Kylian Mbappe, mengalami kekecewaan dengan dua golnya dibatalkan kerana ofsaid pada penampilan sulungnya dalam El Clasico untuk Los Blancos. Kekalahan ini menyebabkan Madrid kini ketinggalan enam mata di belakang endahulu liga, Barcelona.
Kapten Perancis, Mbappe sering terperangkap dengan garisan barisan pertahanan pelawat, yang menyebabkan kekecewaan dalam kalangan penyokong di Santiago Bernabeu. Keadaan bertambah buruk apabila Barcelona menjaringkan empat gol pada separuh masa kedua.
Barcelona menamatkan rekod 42 perlawanan tanpa kalah Madrid dalam La Liga, kurang satu perlawanan daripada rekod sepanjang zaman gergasi Catalan itu, menambah lagi kejayaan mereka.
“Ia adalah saat yang sukar dan pahit apabila awda tewas dalam satu perlawanan, terutamanya selepas begitu banyak perlawanan tanpa kalah,” akui jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti.
Sebaliknya, jurulatih Barcelona, Hansi Flick telah mengubah penampilan Barcelona dalam masa beberapa bulan sahaja dan dalam menamatkan empat kekalahan Clasico, pasukan mudanya mencipta kemenangan untuk menunjukkan sejauh mana kemajuan mereka.
“Objektif besar adalah berjuang menentang yang terbaik di dunia dan kami telah menunjukkan bahawa kami mempunyai keupayaan untuk menewaskan sesiapa sahaja, bahawa kami mempunyai mentaliti dan kami telah berubah,” kata penjaga gol Barcelona, Inaki Pena. – AFP