BARCELONA, SEPANYOL, 15 SEPT – Robert Lewandowski, Raphinha dan Fermin Lopez masing-masing menjaringkan dua gol ketika Barcelona membelasah Valencia 6-0 kelmarin dalam aksi La Liga yang terpaksa dilangsungkan di stadium latihan disebabkan penangguhan dalam pembukaan semula Spotify Camp Nou.
Penyandang juara Sepanyol itu kini melonjak ke tangga kedua, dua mata di belakang pendahulu Real Madrid yang mengekalkan rekod sempurna selepas menewaskan Real Sociedad pada Sabtu.
Dengan kapasiti 6,000 penonton, Stadium Johan Cruyff yang terletak bersebelahan pusat latihan kelab menjadi gelanggang buat aksi pertama Barca di laman sendiri musim ini meskipun suasana yang sederhana, mutu persembahan mereka tetap bertaraf tinggi.
Ketiadaan penyerang sensasi, Lamine Yamal akibat kecederaan pangkal paha menambah kerisauan Barca, apatah lagi jurulatih Hansi Flick mengkritik skuad kebangsaan Sepanyol kerana tetap menurun-kannya sebanyak dua kali pada aksi kelayakan Piala Dunia minggu lalu.
Namun aksi cemerlang terutama pada babak kedua membolehkan Barcelona melupakan ketiadaan Yamal serta keputusan hambar ketika menentang Rayo Vallecano dalam saingan La Liga sebelum ini.

“Saya sangat menghargai apa yang saya lihat hari ini. Ia permulaan yang baik selepas rehat antarabangsa,” kata Flick yang sebelum ini kecewa dengan persembahan pasukan ketika menentang Rayo.
Lopez berkata pemenang treble domestik musim lalu berada di landasan yang betul.
“Mesejnya sama seperti tahun lalu, bermain de-ngan intensiti dan sifat merendahkan diri. Saya rasa kami berada di landasan betul dan perlu meneruskannya,” kata pemain tengah berusia 21 tahun itu.
Flick turut menurunkan Raphinha untuk mengganti Roony Bardghji di sayap kanan.
Rashford, yang menyinar selepas dipinjam dari Manchester United membuat hantaran yang disambut oleh Raphinha untuk menjaringkan gol seterusnya. – AFP

