BARCELONA, 8 Ogos – Barcelona meneruskan kehidupan tanpa Neymar dengan memberikan penghormatan kepada Chapecoense, pasukan dari Brazil yang masih terkesan dengan kejadian pesawat terhempas yang membunuh 19 pemain dan 24 pegawai kelab pada tahun lepas, dalam kemenangan 5-0 bagi perlawanan persahabatan awal pagi tadi.
Pada malam penuh emosi bagi pasukan pelawat, Chapecoense diketuai oleh Alan Ruschel (kapten), salah seorang daripada tiga pemain yang terselamat dalam kejadian itu, dalam aksi kembalinya.
Ruschel disertai oleh dua pemain lain yang terselamat, Nieto dan Jakson Follmann dari skuad yang dalam perjalanan untuk menghadapi Atletico Nacional dalam persaingan akhir Copa Sudamericana apabila pesawat tersebut terhempas ke pergunungan Colombia pada 28 November tahun lepas, membunuh 71 orang.
Nieto dan Follmann, yang menyaksikan kaki kanan dipotong selepas kejadian terhempas itu, keduanya me nangis ketika mereka dijemput untuk melakukan sepak mula di depan 65,000 penonton di Camp Nou.
“Saya dipenuhi dengan kegembiraan untuk kembali beraksi,” Ruschel memberitahu akhbar Sepanyol, Marca.
“Saya adalah salah seorang yang paling gembira di dunia kerana saya hidup dengan sesuatu yang hampir tidak dapat difikirkan.
Saya menggambarkan diri saya bernasib baik untuk berada di Sepanyol, menghadapi Barcelona, beraksi dalam stadium yang tidak pernah saya fikirkan saya akan berada di tempat ini.”
Ruschel juga mendapat cenderahati ketika dia bertukar jersi bersama Pemain Terbaik Dunia sebanyak lima kali, Lionel Messi selepas aksi perlawanan masa penuh.
Derma yang dikutip dari perlawanan itu akan ‘membantu Chapecoense dibangunkan semula dan memperbaiki peringkat persaingannya seperti sebelum tragedi,” kata Barca dalam satu kenyataan.
Ruschel diberikan tugasan untuk menghadapi Messi dalam aksi kembalinya dan biarpun dalam keadaan yang sentimental, Barca tidak memandang remeh apabila perlawanan bermula.
Dari segi peringkat kesukanan gergasi Catalan itu mengalami minggu yang sukar dengan bintang penyerang dari Brazil, Neymar menyertai Paris Saint-Germain bagi yuran pertukaran rekod dunia 222 juta euro (AS$264 juta).
Barca dijangka akan membelanjakan sebahagian dari wang tersebut dalam masa beberapa minggu dengan mendatangkan pemain-pemain yang dikhabarkan sebagai pengganti Neymar, termasuk Philipe Coutinho dari Liverpool dan Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund. – AFP