BARCELONA, 11 APRIL – Barcelona yang memburu kejuaraan terikat seri 0-0 oleh Girona di Camp Nou kelmarin, melebarkan kelebihan mereka ke atas Real Madrid di puncak La Liga dengan satu mata, kini berada di hadapan sebanyak 13 mata dengan berbaki 10 perlawanan.
Masih dihantui kekalahan mereka kepada Madrid minggu lalu dalam Copa del Rey, Barcelona jauh daripada prestasi terbaik mereka dalam perlawanan derby Catalan.
Girona, yang berada di kedudukan tengah carta, mempamerkan aksi padu dan memaksa pasukan kendalian Xavi Hernandez itu kehilangan mata di tempat sendiri dalam La Liga buat kali ketiga musim ini.
Barcelona memperoleh rekod bersih ke-21 mereka di liga teratas tetapi tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya kekalahan Real Madrid, ketika mereka berusaha untuk memenangi La Liga buat kali pertama sejak 2019.
“Mereka mula mendapat keyakinan di bahagian pertahanan, dan kami bergelut untuk membuat hantaran terakhir atau mengambil peluang kami,” kata kapten Barca, Sergio Busquets kepada DAZN.
“Objektif kami tetap sama, untuk memenangi La Liga, dan cuba memenanginya secepat mungkin. Kami mendahului 13 mata, tetapi objektif kami tetap sama.” – AFP


