Friday, February 7, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barca gagal tembusi gawang Proto

    PIRAEUS, 1 Nov – Olympiakos mengikat Barcelona dengan keputusan 0-0 dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi, menafikan kelayakan awal ke pusingan 16 terakhir dalam Kumpulan D bagi pasukan pelawat.

    Lionel Messi dinafikan sebanyak lima kali oleh penjaga gol Silvio Proto, yang menyaksikan pasukan Catalan itu mencicirkan mata pertama mereka dalam empat perlawanan, menguasai perlawanan dan menekan lawan untuk mendapatkan gol kemenangan di Stadium Karaiskakis.

    Juara Greece itu, bermain selepas tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Juara-Juara, bertahan dengan penuh keazaman. Tetapi pasukan tuan rumah tidak begitu bersemangat untuk melakukan serangan balas kerana mereka kelihatannya berpuas hati dengan satu mata menentang skuad kendalian bekas jurulatih mereka, Ernesto Valverde.

    “Matlamat kami adalah untuk menang malam ini dan kami mempunyai banyak peluang, namun ia tidak menjadi,” kata Valverde.

    Barcelona masih menerajui Kumpulan D dengan 10 mata, tiga mata di depan Juventus, yang seri 1-1 di Sporting Lisbon yang mempunyai empat mata.

    Bintang Barca, Luis Suarez (kanan) cuba menjaringkan gol dengan melakukan sepakan akrobatik dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Olympiakos di Turki. – AP

    Kapten Olympiakos Alberto Botia, yang menyertai Barcelona ketika remaja, antara pemain yang beraksi cemerlang ketika pasukan tuan rumah mengubah rentak selepas rehat.

    Proto menafikan tiga percubaan oleh Messi di separuh masa pertama, dan meneruskan aksi hebatnya di separuh masa kedua, juga menafikan percubaan Luis Suarez pada minit ke-72.

    Penjaga gol Belgium itu kemudian menolak keluar sepakan percuma Messi dua minit sebelum wisel penamat dan sekali lagi menepis rembatan kencang penyerang Argentina itu di masa kecederaan.

    Valverde mengekal tekanan di sepanjang perlawanan, dengan membawa masuk penyerang Gerard Deulofeu di saat-saat akhir. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda