BARCELONA, 12 OGOS – Barcelona menjual lebih banyak aset kelab dengan harapan untuk memenuhi peraturan kewangan yang ditetapkan oleh La Liga agar Robert Lewandowski dan pemain-pemain baharu lainnya boleh bermain dalam perlawanan pembukaan musim ini.
Barcelona hari ini mengumumkan bahawa kelab itu bersetuju menjual 24.5 peratus hab produksi Barca Studios kepada Orpheus Media dalam perjanjian yang membolehkan mereka menerima 100 juta euro.
Bulan lalu, Barcelona menjual 25 peratus saham hab produksi kelab kepada Socios.com, sebuah syarikat pembekal rantaian blok, untuk meraih 100 juta euro serta menjual hak penyiaran televisyen Liga Sepanyol sebanyak 25 peratus bagi tempoh 25 tahun akan datang dengan bayaran hampir 670 juta euro.
Kelab berpangkalan di Catalan itu menanggung hutang yang banyak dan menggadaikan 870 juta euro bagi menandatangani Lewandowski dari Bayern Munich berserta beberapa pemain lain.
Berhubung penjualan hampir 50 peratus hab produksi, Barcelona dalam kenyataanya berkata ‘dengan pelaburan bersama rakan strategik, Barca Studios menunjukkan keyakinan dalam nilai projek dan kandungan digital masa hadapan dalam dunia sukan.”
Perjanjian itu dilaksanakan ketika Barcelona masih belum dapat mendaftarkan pemain-pemain baharu untuk beraksi di Liga Sepanyol. Barcelona akan memulakan musim ini dengan pertemuan menentang Rayo Vallecano esok.
Hasil dana yang dikumpulkan melalui penjualan aset kelab, Barcelona telah memperkuatkan skuadnya dengan menandatangani Lewandowski, pemain sayap Raphinha dan pemain pertahanan Jules Kounde dengan pembelian terkumpul sebanyak 160 juta euro. – AFP