JEDDAH, 13 JAN – Barcelona menewaskan seteru utama, Real Madrid 5-2 dalam perlawanan akhir Piala Super Sepanyol di Arab Saudi kelmarin, sekali gus meraih trofi pertama di bawah era Hansi Flick.
Kylian Mbappe membuka jaringan untuk Madrid tetapi Barcelona yang mendominasi perlawanan berjaya membolosi lima gol sebagai tindak balas sebelum penjaga gol mereka Wojciech Szczesny dibuang padang pada separuh masa kedua.
Madrid berharap dapat membalas dendam atas kekalahan 4-0 di laman sendiri kepada Barcelona dalam aksi La Liga pada Oktober lalu tetapi sebaliknya dimalukan oleh musuh ketat mereka di Jeddah.
Selepas gol pembukaan Mbappe, Lamine Yamal menyamakan kedudukan sebelum Robert Lewandowski meletakkan Barcelona di depan melalui sepakan penalti, dengan Raphinha menjaringkan dua gol dan Alejandro Balde turut menjaringkan gol.
Rodrygo Goes kemudiannya merapatkan jurang untuk Madrid dengan sepakan percuma akan tetapi mereka gagal memanfaatkan kelebihan jentera serangan, menyebabkan kekalahan memalukan buat juara Eropah itu.
“Saya rasa hari ini adalah hari yang baik kerana kami menewaskan salah satu pasukan terbaik di dunia, Real Madrid, buat kali kedua musim ini, dan ia sukar dipercayai,” kata Flick kepada pemberita. “Kami memenangi trofi di sini dan kami sangat gembira… hari ini adalah hari untuk melihat pasukan ini secara positif,” tambahnya. – AFP