MADRID, 3 MAC – Barcelona meraih kemenangan selesa 4-0 ke atas Real Sociedad yang beraksi dengan 10 pemain untuk kembali menduduki tangga teratas La Liga semalam.
Gerard Martín, Marc Casado, Ronald Araujo dan Robert Lewandowski, masing-masing mencetak gol untuk membantu Barcelona mengatasi Atletico Madrid dengan kelebihan satu mata di puncak liga.
“Perjalanan masih jauh dan segala-galanya boleh berubah dengan cepat,” kata jurulatih Barcelona, Hansi Flick. “Kami perlu terus berjuang hingga ke akhir kerana kami mahu memenangi segala yang kami mampu.”
Barcelona kini tiga mata di hadapan Real Madrid yang berada di tempat ketiga selepas tewas 2-1 kepada Real Betis pada Sabtu, sementara Atletico Madrid menewaskan Athletic Bilbao 1-0 di laman sendiri.
Real Sociedad beraksi dengan 10 pemain sejak minit ke-17 selepas Aritz Elustondo dilayangkan kad merah kerana menyambar Dani Olmo untuk menghalang serangan balas Barcelona.
“Kad merah awal untuk Real Sociedad mengubah segala-galanya, itu benar, tetapi kami memaksa mereka melakukannya. Mereka adalah pasukan yang sangat baik, tetapi hari ini kami memang layak menang,” kata Flick.
Kemenangan itu merupakan yang keenam berturut-turut bagi Barcelona dalam liga, manakala Sociedad mengalami kekalahan kedua dalam tiga perlawanan terakhir dan kekal di tangga kesembilan. – AFP
