MADRID, 2 FEB – Dengan satu lagi cetakan gol oleh Robert Lewandowski (gambar-AP) dan satu lagi kemenangan, Barcelona kini meraih 50 mata dan terus menunjukkan kekuatannya menjelang separuh masa kedua liga Sepanyol.
Lewandowski menamatkan kemarau jaringannya dalam liga untuk membantu Barcelona menewaskan Real Betis 2-1 dan menambah jurang kedudukannya ke atas Real Madrid semalam.
Lewandowski mengesahkan kemenangan keenam berturut-turut Barcelona dalam semua pertandingan dengan gol liga pertamanya sejak Oktober. Dia adalah penjaring terbanyak liga dengan 14 gol.
Penyerang Poland itu kembali setelah penggantungan tiga perlawanan kerana tidak menghormati pengadil dalam perlawanan tahun lalu.
Raphinha membuka tirai jaringan untuk Barcelona, yang kini berada di depan tempat kedua Madrid dengan lapan mata menjelang perlawanan di tempat sendiri menentang Valencia hari ini.
“Kami bermain perlawanan yang hebat,” kata jurulatih Barcelona Xavi. “Kami berpuas hati dengan keputusan dan cara kami bermain. Kami bermain dengan baik menentang pasukan yang bagus di stadium yang sukar.”
Barcelona memenangi liga empat kali selepas mencecah 50 mata atau lebih melalui 19 pusingan. Ia hanya gagal menjulang trofi dalam situasi itu pada 2013-14.
“Kami sedang melalui saat yang baik,” kata Raphinha. “Mata itu adalah hasil usaha kami. Kami kekal yakin sepanjang musim ini.” – AP
