Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barca menang bergaya atasi Athletic, rasmikan stadium Camp Nou

    BARCELONA, 23 NOV – Barcelona kembali dengan penuh gemilang ke stadium Camp Nou mereka yang dibina semula kelmarin selepas prestasi hambar dua setengah tahun dengan kemenangan 4-0 ke atas Athletic Bilbao sekali gus teraju puncak La Liga.

    Juara Sepanyol itu telah merancang untuk membuka semula stadium mereka setahun yang lalu tetapi kelewatan pembinaan dan halangan lain bermakna mereka terpaksa menunggu.

    Ferrand Torres menjaringkan dua gol selepas Robert Lewandowski membuka jaringan. Fermin Lopez juga menjaringkan gol dalam kemenangan selesa menentang Athletic, yang menyebabkan Oihan Sancet dibuang padang pada separuh masa kedua.

    Skuad kendalian Hansi Flick menyamakan kedudukan dengan Real Madrid di tangga teratas liga sementara Los Blancos akan bertemu Elche hari ini.

    “Bagi semua orang, pemain, kakitangan, jurulatih, ia adalah perlawanan yang istimewa, dan juga bagi peminat untuk kembali ke stadium ini adalah sesuatu yang luar biasa,” kata Flick kepada pemberita.

    “Saya gembira dengan jaringan tanpa bolos, empat gol dan tiga mata. Hari yang sempurna untuk kami.”

    Barca mencetuskan kegembiraan sebelum dan selepas perlawanan apabila lebih 45,000 peminat memenuhi tiga tempat duduk yang telah dibuka.

    Walaupun harganya terlalu tinggi, tiket perlawanan itu hampir habis dijual. Barca berharap dapat membuka lebih banyak tempat duduk menjelang 2026 dan mencapai kapasiti penuh 105,000 musim depan.

    Jurulatih itu menurunkan Joan Garcia selepas terlepas sembilan perlawanan sebelumnya akibat kecederaan sekali gus dia bantu pasukan kekalkan rekod tanpa bolos sejak September.

    Sementara penyerang veteran Lewandowski, yang memakai lilitan kapten, membuka jaringan pada minit keempat setelah mendapatkan bola tinggi di atas padang dan tewaskan Unai Simon dengan rembatan rendah yang kencang.

    “Hari ini adalah hari yang istimewa, bukan sahaja untuk saya tetapi untuk semua orang,” kata Lewandowski kepada Barca One.

    “Saya sangat gembira kerana dapat menjaringkan gol pertama, (setelah) kembali ke Camp Nou,” sambungnya.”Saya fikir gol pertama ini untuk saya adalah sesuatu yang akan saya ingati selama-lamanya.”

    Gol-gol seterusnya dijaringkan oleh Ferran Torres sebanyak dua jaringan dan juga Fermin Lopez. – AFP

    Reaksi ​​Ferran Torres meraikan gol keempat pasukan bersama Lamine Yamal (kanan) semasa menentang Athletic Club Bilbao di Stadium Camp Nou, Barcelona kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda