Tuesday, February 11, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barca menang selesa di Sevilla

    SEVILLE, 10 FEB – Barcelona merapatkan jurang dua pasukan teratas La Liga dengan kemenangan 4-1 menentang Sevilla semalam, walaupun bermain selama 30 minit terakhir dengan 10 pemain selepas kad merah Fermin Lopez.

    Robert Lewandowski, Lopez, Raphinha dan Eric Garcia menja-ringkan gol untuk Barcelona, yang berjaya memanfaatkan keputusan seri 1-1 antara pendahulu Real Madrid dan Atletico Madrid di tangga kedua pada Sabtu lalu.

    Barca di bawah kendalian Hansi Flick kini berada dua mata di belakang Los Blancos dan hanya satu mata di belakang Atletico, sekali gus menambah ketegangan dalam perebutan gelaran.

    “Saya amat menghargai prestasi kami, kami bermain baik pada separuh masa pertama dan pada separuh masa kedua kami berjuang untuk tiga mata ini,” kata Flick kepada DAZN.

    “Kami menerima tekanan tinggi, intensiti kami sangat baik… dan akhirnya ia adalah pengajaran yang baik untuk bermain dengan formasi 4-4-1 dan bertahan seperti itu.”

    Gol awal Lewandowski dibatalkan oleh Ruben Vargas dari Sevilla, dengan Lopez dan Raphinha meledak awal di babak kedua.

    Lopez dibuang padang akibat terjahan tinggi tetapi Barcelona bertahan dan menambah jaringan apabila Garcia menanduk gol lewat permainan.

    “Hari ini kami perlu menang untuk kekal dalam perebutan gelaran dan sekarang kami memberikan tekanan,” kata pemain pertahanan Barca, Inigo Martinez kepada DAZN.

    “Saya rasa pasukan telah bermain dengan cemerlang dan inilah jalan ke hadapan. Jika kami kekal mantap di bahagian pertahanan dan depan, kami semua tahu apa yang mampu dilakukan penyerang kami.” – AFP

    Fermin Lopez menanduk bola dan menjaringkan gol kedua pasukannya semasa perlawanan bola sepak liga Sepanyol antara Sevilla FC dan FC Barcelona di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan di Seville pada 9 Februari.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda