BARCELONA, 21 APRIL – Pendahulu La Liga, Barcelona bakal mengalu-alukan kedatangan Atletico Madrid ke Camp Nou pada hari Ahad ini dan perlu mengambil langkah penting bagi merangkul kejuaraan.
Dengan kelebihan 11 mata berbanding pasukan di tangga kedua, Real Madrid, Barcelona mempunyai peluang cerah untuk memenangi trofi, namun sedikit terjejas dengan dua keputusan seri 0-0 berturut-turut menentang Girona dan Getafe.
Skuad kendalian Xavi ‘merangkak’ ke arah garisan penamat, dengan semangat pasukan mula merudum apabila Madrid menyingkirkan mereka daripada Copa del Rey dengan membelasah 4-0 di Camp Nou pada awal April.
Perkara di luar padang telah mengambil tumpuan, dengan presiden Joan Laporta mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan penafian kelab terhadap sebarang salah laku dalam skandal pengadil ‘kes Negreira’ dan potensi kepulangan Lionel Messi dari Paris Saint-Germain yang semakin mendapat momentum.
Laporta juga berkata dia mahu memperbaharui kontrak Xavi, tetapi jurulatih itu mahu pasukannya menyelesaikan tugas dengan memenangi La Liga sebelum dia melayan perbincangan mengenai perjanjian baharu atau membincangkan pembelian musim panas.

“Apabila La Liga dimenangi, kami akan meraikannya, tetapi belum ada kemenangan lagi. Kami perlu memenanginya,” tegas jurulatih itu awal bulan ini.
Penyerang Barcelona, Robert Lewandowski hanya menjaringkan dua gol dalam tujuh perlawanan terakhirnya dalam semua pertandingan, kedua-duanya menentang Elche di tangga tercorot.
Kemarau gol beliau adalah salah satu faktor yang menyebabkan Barcelona seri tanpa jaringan berturut-turut di liga teratas buat kali pertama sejak 2005.
Bagaimanapun Xavi berkata Lewandowski, yang merupakan penjaring terbanyak liga dengan 17 gol, tidak lama lagi akan kembali dalam senarai penjaring.
“Dia masih penjaring terbanyak, separuh pertama musim ini adalah luar biasa,” tambah Xavi.
“Jumlah jaringannya bagus pada separuh kedua musim ini, tetapi tidak sebagus yang pertama. Gol akan datang, untuk Robert dan pasukan.” – AFP

