BARCELONA, 22 NOV – Pendahulu La Liga, Barcelona tewas dua perlawanan musim ini, dan kedua-duanya tanpa pemain bintang remaja, Lamine Yamal sebagai pemain utama. Pemain sayap itu juga akan terlepas perlawanan menentang Celta Vigo esok.
Pasukan kendalian Hansi Flick menghadapi kesukaran setiap kali pemain berusia 17 tahun itu tidak berada di atas padang, kerana pemain antarabangsa Sepanyol tersebut telah menjadi bahagian penting dalam perancangan serangan mereka.
Dengan Yamal akan terlepas lawatan ke Galicia disebabkan masalah buku lali, jurulatih Jerman itu memerlukan pelan B.
Yamal direhatkan semasa kunjungan Barcelona ke Osasuna pada September, yang menyaksikan pasukan Catalan itu tewas 4-2.
Muncul sebagai pemain gantian ketika Barcelona ketinggalan, Yamal menjaringkan gol lewat yang menakjubkan untuk mengingatkan Flick tentang betapa pentingnya dia kepada pasukan.
Sejak itu, dia menjadi pemain utama dalam setiap perlawanan Barcelona sehingga kecederaan menyebabkan dia tidak dapat bermain dalam kekalahan 1-0 menentang Real Sociedad sebelum rehat antarabangsa.
Flick meletakkan Raphinha di sayap kiri dan menggunakan Fermin Lopez di posisi yang bukan kebiasaannya di sayap kanan, tetapi pasukannya gagal mencipta banyak peluang di San Sebastian, meskipun sebelum itu mereka telah menjaringkan 40 gol dalam 12 perlawanan liga.
“Sudah tentu, seorang pemain yang mempunyai kualiti seperti Lamine, setiap pasukan pasti akan merinduinya,” akui Flick selepas kekalahan itu.
“Di bahagian serangan, kami tidak membuat keputusan yang tepat.”
Dengan Dani Olmo nampaknya sudah pulih daripada kecederaan, pemain tengah kreatif itu boleh menambah lebih banyak kualiti di bahagian serangan Barcelona dan memberikan sokongan kepada penyerang Robert Lewandowski agar dapat beraksi dengan cemerlang. – AFP