Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Barca pinjamkan Roque dan Lenglet

    BARCELONA, 27 OGOS – Barcelona meminjamkan penyerangnya, Vitor Roque kepada pasukan La Liga, Real Betis kelmarin selepas dia gagal memberikan impak dalam beberapa bulan pertamanya di kelab itu.

    Gergasi Catalan itu juga meminjamkan bek tengah, Clement Lenglet kepada pesaing kejuaraan, Atletico Madrid.

    Penyerang Brazil, Roque tiba dari Athletico Paranaense pada Januari selepas Barca menandatanganinya dengan harga sekitar 30 juta euro pada Julai 2023.

    Dia menjaringkan dua gol dalam 16 perlawanan untuk kelab itu ketika Barcelona menyaksikan saingan Real Madrid menjulang La Liga dan Liga Juara-Juara.

    “Perjanjian telah dicapai antara FC Barcelona dan Real Betis untuk meminjamkan Vitor Roque sehingga 30 Jun 2025, dengan pilihan satu tahun tambahan,” kata Barcelona dalam satu kenyataan.

    Gambar Freepik

    Gergasi Catalan itu mengesahkan bahawa Betis juga mempunyai pilihan untuk membeli pemain berusia 19 tahun itu.

    “Awda tidak boleh mengatakan saya tidak bergantung padanya, itu sama sekali tidak betul,” kata jurulatih Barca, Hansi Flick kepada pemberita kelmarin.

    “Ia merupakan peluang yang baik untuknya bermain, dia melakukan banyak perkara dengan sangat hebat, semoga dia bermain dengan cemerlang dan meningkatkan prestasinya.”

    Sementara itu, pemain pertahanan Perancis, Lenglet, 29, menyertai Atletico sehingga akhir musim, selepas sebelum ini dipinjamkan ke Tottenham dan Aston Villa.

    Barcelona belum dapat mendaftarkan pemain baharu yang ditandatangani pada musim panas dengan La Liga, Dani Olmo disebabkan oleh masalah kewangan mereka dan peraturan kewangan liga yang ketat.

    Mereka membenarkan Ilkay Gundogan kembali ke Manchester City minggu lalu dan jurulatih Hansi Flick berharap ia akan memberikan ruang yang cukup kepada kelab itu untuk mendaftarkan Olmo, tetapi pemain tengah itu belum dapat diturunkan untuk menentang Athletic Bilbao pada Sabtu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda